Gila kuasa, jangan sampai undang campur tangan asing

- Advertisement -

GILA… itu telahan ramai dalam kalangan rakyat ketika ini. Mengapa mereka kata gila?

Hari ini gila berpolitik musim pandemik Covid-19 gila paling sukar diubat. Walaupun pandemik Covid-19 itu nyata bahaya dan amat sukar dibendung, penyakit gila kuasa dan gila politik ni amat sukar untuk dibendung malah tiada vaksin penyembuh atau vaksin mengurangkan kesan jangkitan gila nak berkuasa.

Ketika ramai dalam kalangan anak-anak kecil kehilangan ibu napa menjadi yatim piatu sekelip mata, adapun ahli politik dalam kalangan pembangkang dan mereka yang bersekutu dengan kumpulan ini semakin gila, gila meratib kuasa sejak setahun lalu.

- Advertisement -

Malah lebih dikesali mereka menggunakan ratiban kerajaan gagal tatkala Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin fokus kepada usaha mendepani ancaman pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kini mula menampakkan hasil yang amat membanggakan.

Nak kata kerajaan gagal, tetapi pembangkang serta konconya lebih gagal lagi apabila tidak menghiraukan situasi semasa, berkumpul dan berhimpun, kemudian langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat dalam ucapan-ucapannya di Parlimen ketika sidang khas, malah lebih banyak mempertikai kedudukan Ordinan Darurat dalam soal teknikal.

Walhal ketika ordinan ini diumumkan enam bulan lepas, mereka lah yang menentang malah dari kelompok mereka jualah yang melawan hingga Bawa ke mahkamah bagi mencabar Ordinan Darurat yang telah diperkenan pelaksanaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini mereka meratib kononnya PN lah yang derhaka, walhal kalau hendak disenaraikan cukup banyak kelakuan dan ucapan serta tindakan mereka samada semasa berkuasa 22 bulan mahupun selepas hilang kuasa, adalah bersifat menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kegilaan apakah ini hingga mereka sanggup menghasut rakyat turun menentang dan menjatuhkan kerajaan walhal mereka tahu keadaan ketika ini amat bahaya dengan penularan varian Delta yang boleh dikatakan seluruh negara dunia sedang ‘azab’ berdepan varian baharu ini.

Benar mungkin mereka berjaya mengganggu emosi rakyat dengan perkataan ‘kerajaan gagal’ demi memperlihatkan kononnya mereka lah yang menyebelahi rakyat. Tetapi sebenarnya sebilangan besar rakyat ketika ini benci dengan situasi ini yang menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil.

Angkara gila nak berkuasa inilah khasnya PH telah membawa negara menuju kepada krisis yang paling dibimbangi boleh sahaja mengundang campurtangan pihak yang licik atas nama kononnya hak kebebasan bersuara.

Umum tahu adanya pihak di negara ini yang punyai hubungan baik dengan negara Barat, dan hubungan rapat dengan pihak tertentu di negara kuasa besar dunia.

Paling dibimbangi ada beberapa pendedahan mengenai usaha pihak tertentu melalui dana media dan pergerakan atas nama hak kebebasan bersuara yang sebenarnya didalangi negara Barat.

Himpunan mutakhir ini tidak boleh dipandang enteng.Siapa dan bagaimana gerakan mereka perlu diperhalusi, malah jika ia menjadi barah kepada negara, wajar sekali elemen negatif diatasi segera.

Kita tidak menentang kebebasan berpolitik dan suara, namun kita amat perlu berhati-hati dengan gerakan yang mungkin boleh menatijahkan negara berada pada tahap kritikal jika terdedah campurtangan asing.

Lihat sejarah Afghanistan, Pakistan, dan Iraq, maka semua ini boleh sahaja menjadi teladan dan sempadan.

Usah gila berpolitik mengejar kuasa, dengan nafsu mendapatkan kuasa, sedang rakyat menderita dan bakal lebih parah jika negara berada di ambang krisis parah yang mengundang campurtangan asing. Sesekali hal ini tidak boleh diterima dan perlu dihalang seawal mungkin. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -