Geng baju hitam agenda pembangkang?

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

Sedih, geram, marah…berbaur perasaan saya ketika ini tatkala melihat anak Melayu kita dijadikan umpan dan kail bagi sesetengah pihak untuk meraih perhatian pihak-pihak yang tamakkan kuasa.

Bekas orang kanan Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli yang pernah mendedahkan berhubung kewujudan kartel baharu baju hitam dalam PKR terbukti benar apabila muncul kembali dalam himpunan haram di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Rafizi sebelum ini terlibat dalam pergaduhan secara terbuka dengan Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial yang mencuri perhatian ramai.

Menerusi ciapan di Twitter Rafizi pada 17 Jun lalu, beliau secara secara terang-terangan menasihati Anwar agar tidak membiarkan benih kartel tumbuh lagi melalui geng baju hitam.

Topik itu muncul setelah pelbagai pihak yang kononnya berpihak kepada Farhash membuat hantaran yang tidak menyebelahi kepada Rafizi.

Pada Disember 2019, kumpulan berbaju hitam dikaitkan dalam pergaduhan dengan kumpulan baju biru semasa Kongres Pemuda PKR (AMK) di Melaka sehingga menimbulkan kekecohan yang besar.

Insiden hitam pergaduhan yang dicetuskan kumpulan berbaju hitam itu pastinya menjadi ingatan orang ramai.

Baru-baru ini, kumpulan baju hitam muncul lagi dengan mengadakan himpunan haram di ibu kota, mereka seakan-akan kebal daripada virus berjangkit Covid-19 kerana berjuang demi tokoh pemimpin disayangi mereka, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.

Malah, terdapat beberapa kelibat orang kuat Anwar dilihat bersama menyertai himpunan tersebut, antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Parlimen Anwar, Abd Malek Hussin yang berkongsi gambar masing-masing dalam akaun Facebook bersolidariti bersama kumpulan baju hitam hari ini.

Himpunan pada Sabtu disertai sekumpulan individu dengan membawa sepanduk mengkritik dan mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga membawa sepanduk yang senada dengan ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.

Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.

Tindakan mereka ini bukan sahaja mengundang kecaman dan cacian netizen di media sosial, malah menunggu kompaun dan hukuman undang-undang daripada pihak berkuasa.

Sekiranya cukup keterangan, mereka akan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan mengikut Seksyen 21A Akta 342.

Tindakan juga dikenakan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Tidak pasal-pasal sudah ada rekod jenayah di dalam negara. Sangat malang nasib anak muda, pewaris negara kita kelak.

Jika mahukan demonstrasi, bukan di jalanan kerana keadaan sangat tidak mengizinkan buat masa ini. Manfaatkanlah platform yang serba banyak dan canggih yang ada dalam perkembangan era teknologi pada ketika ini.

Melaksanakan kempen atau tulisan dan juga seruan melalui penggunaan media sosial boleh diadakan secara berhemah.

Selain itu, bantahan juga boleh dilakukan secara maya melalui petisyen dan forum atau penganjuran webinar yang bersesuaian.

Turun di jalanan menyatakan ketidakpuashatian bukan jalan yang terbaik ketika musim pandemik ini.

Anak muda kita mungkin khilaf, tetapi bukan para pemimpin yang melakukan kesilapan yang serupa dengan menarik mereka untuk berada di jalan haram dan hitam tersebut.

Perbuatan pihak-pihak yang menggerakkan kartel hitam ini seharusnya diberikan tindakan undang-undang yang tegas dan keras, kerana kelak mampu meruntuhkan akhlak warga muda serta belia di negara ini.

Jangan beri muka. Tolak sepenuhnya agar tiada ruang dan peluang lagi untuk mengindoktrin anasir negatif ke dalam fikiran anak muda kita.

Dilantik oleh rakyat, sepatutnya bekerja untuk rakyat bukan untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Rakyat akan nilai. Siapa yang kerja. Siapa yang asyik condemn. Siapa yang gila kuasa. Semuanya akan mereka nilai. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -