Beri kepercayaan PM harungi kemelut politik

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap masih utuh biarpun ada dalam kalangan ahli parlimen parti tertentu menarik sokongan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kerajaan masih mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Katanya, sehingga sekarang pelbagai usaha yang dilakukan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan PN.

- Advertisement -

“Isnin lepas ada perhimpunan ahli Parlimen pembangkang. Begitu juga pada Sabtu lepas juga ada siri himpunan bagi menggugat kerajaan.

“Tanpa sedar himpunan di Dataran Merdeka dan laluan ke parlimen Isnin lepas terdedah kepada penularan Covid-19 memandangkan kes di Kuala Lumpur dan Selangor paling tinggi,” katanya selepas majlis penyerahan kotak makanan kepada lima sekolah di sini hari ini.

Menurutnya himpunan pembangkang di laluan ke parlimen mengundang marah rakyat memandangkan wabak sedang menular sekarang.

Kata beliau situasi itu dapat dibuktikan apabila banyak pihak tampil membuat laporan polis terhadap himpunan tersebut yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau juga berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 pembangkang dilihat sanggup merisikokan diri sendiri semata-mata kerana politik.

“Mereka meletakkan kepentingan politik melebihi perkara lain terutama dalam usaha memerangi Covid-19,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu.

Pada Isnin lepas pembangkang berkumpul dengan cubaan memasuki kawasan parlimen biarpun Dewan Rakyat ditutup akibat penularan wabak Covid-19.

Mohamed Farid juga berkata, kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pelbagai usaha dan pakej rangsangan untuk membantu rakyat termasuk menyediakan bakul makanan.

“Saya menyeru orang ramai supaya terus memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri dan PN mengharungi kemelut politik yang berlaku sekarang.

“Biarpun kemelut itu dicetus pihak tertentu, namun masih ramai ahli parlimen berusaha keras membantu kerajaan menghadapi penularan wabak,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -