Zikrullah: Sebut, ingat, kenang mencapai mahabbah

- Advertisement -

“KETAHUILAH, bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

- Advertisement -

Itulah buah atau hasil daripada mengingati Allah iaitu hati menjadi tenang. Itu adalah warid (anugerah Allah) kepada mereka yang beristiqamah dengan wirid tertentu.

Untuk berwirid mestilah memahami apa yang disebut. Pelajari ilmu asas iaitu Tauhid, Fekah dan Tasawuf sekadar Fardu Ain itu sangat perlu. Seorang yang berzikir semestinya mengetahui dan menyedari sebutannya. Wirid selain ayat-ayat suci al-Quran mesti dihadirkan maknanya.

Seseorang hamba Allah semestinya banyak menyebut nama Allah dengan mulut lidahnya dan ingatlah banyak-banyak kepada Allah. Tidak kiralah apa wiridnya terutamanya membaca al-Quran, menyebut nama-nama Allah, Tahlil, Tasbih, Tahmid atau mana-mana azkar (zikir-zikir) yang mathurTadabburlah (perhatilah) akan makna-maknanya dengan penuh penghayatan serta kenangkan nikmat pemberian Allah yang terlalu banyak kepada kita.

Kenangilah nikmat yang sangat berharga iaitu nikmat iman dan Islam, nikmat Allah menjadikan atau mengadakan kita. Allah menentukan kita yang hidup daripada berjuta-juta benih. Berada dalam perut ibu kita kemudian lahir ke dunia ini, itulah nikmat ijad. Kemudian bermacam-macam nikmat yang Allah anugerahkan daripada pancaindera yang sejahtera, bumi tempat kita berada, rezeki daripada pelbagai jenis makanan dan minuman menyedut udara, sihat tubuh badan yang boleh bergerak ke sana ke mari. Allah! Betapa banyaknya, betapa kasihnya Allah kepada kita.

Sedarilah itu semua dengan penuh perasaan kita menyebut zikrullah, semoga dianugerah mahabbatullah (cintakan Allah) atau kasih akan Allah. Sedarilah dengan kesiangan makrifah. Seumpama berada dalam bilik studio. Sedarilah kita dilihat, kita sedang disaksikan oleh Allah. Usahakan dengan penuh kesungguhan supaya kita tidak seperti orang yang tidur di kesiangan hari. Ya Allah berilah pertolongan kepada kami untuk mengingatimu dan mensyukuri nikmatmu.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100001777352221/posts/4215877468481457/

- Advertisement -