UMMAH Negeri Sembilan lapor polis himpunan haram

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Sembilan telah membuat satu laporan polis berhubung dua himpunan yang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur pada 2 Ogos dan 31 Julai lalu.

Menurut Pengerusinya, Rosmin Adam, kedua-dua himpunan itu secara jelas bercanggah dengan Akta 342, Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

- Advertisement -

“Himpunan ini dibuat oleh parti-parti pembangkang pada 2 Ogos 2021 yang bermula di Bangunan Parlimen dan berakhir di Dataran Merdeka.

“Himpunan tersebut diketuai oleh Ketua Pembangkang yang hadir bersama Ahli Parlimen pembangkang bersama penyokong masing-masing.

“Tindakan tersebut jelas menyalahi undang-undang yang sedia ada dalam keadaan negara menghadapi krisis pandemik Covid-19 di mana rakyat dilarang mengadakan himpunan yang sedemikian yang boleh mendedahkan kepada penyebaran dan jangkitan Covid-19 sehingga menjejaskan usaha kerajaan untuk mengeluarkan negara Malaysia dari krisis yang mengancam nyawa ini.

“Pada hari 31 Julai 2021 (Sabtu) lepas juga satu himpunan yang hampir serupa diadakan dimana sekitar 450 orang berkumpul di Dataran Masjid Jamek sebelum mereka berarak melalui Jalan Tun Perak menuju ke Jalan Raja,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, beliau memohon pihak polis mengadakan siasatan terhadap dua himpunan tersebut di bawah akta berkaitan. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -