Rakyat muak gelagat pembangkang

- Advertisement -

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Ahli parlimen pembangkang yang berhimpun tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Lebih-lebih lagi mereka sebagai pengubal dasar di parlimen wajar dikenakan tindakan lebih tegas kerana mengingkari SOP.

- Advertisement -

Seorang usahawan Mohd Asri Yunus berkata, rakyat sudah maklum sebarang perhimpunan yang diadakan ketika pandemik Covid-19 dilarang sama sekali.

Katanya perhimpunan ia bertentangan dengan apa ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak.

“Sepatutnya sebagai ahli parlimen mereka memberi contoh kepada rakyat. Sekarang apa sahaja perhimpunan tidak boleh dilakukan.

“Lagi pun solat berjemaah di masjid pun dihadkan dalam situasi sekarang. Itu semua rakyat faham, namun pembangkang berhimpun kerana mahu mengejar kuasa politik,” katanya ketika ditemui di sini.

Semalam pembangkang berhimpun untuk memasuki parlimen biarpun notis dikeluarkan kerajaan Dewan Rakyat ditutup kerana berlaku penularan wabak Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 56 kes positif dan dibimbangi membabitkan varian Delta yang mudah berjangkit.

Mohd Tanazi Ariffin

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Melor Mohd Tanazi Ariffin berkata, perhimpunan pembangkang berhampiran parlimen di Kuala Lumpur semalam jelas bermotif politik.

“Tidak wajar perhimpunan seperti itu diadakan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, lebih-lebih sekarang berlaku penularan varian baru yang lebih bahaya.

“Kita amat setuju jika pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap peserta himpunan terbabit kerana tidak mengendahkan nasihat diberi KKM,” katanya.

Menurutnya juga rakyat muak dengan tindakan laku pembangkang di mana sejak tahun lepas lagi mendakwa mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -