Rakyat marah muncul kumpulan sanggup langgar SOP

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pihak yang menuduh kerajaan gagal tidak sedar dalam masa yang sama mereka turut ‘menyerang’ kakitangan kerajaan yang bekerja siang dan malam bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, petugas barisan bekerja siang dan malam tanpa mengira penat dan lelah ketika pandemik sekarang.

“Kalau ikutkan kumpulan terbabit semua orang tidak kena, bahkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun turut menjadi sasaran mereka.

- Advertisement -

“Walhal mereka lupa tindak-tanduk seperti itu sebenarnya mencerminkan merekalah sebenarnya golongan kecewa yang gagal.

“Rakyat marah muncul kumpulan yang mempertikaikan usaha kerajaan sehingga sanggup melanggar SOP,” katanya di sini.

Pada Sabtu lepas kumpulan anak muda berbaju hitam menyertai himpunan Keluar dan #Lawan di Dataran Merdeka dengan membawa sepanduk kerajaan gagal.

Himpunan itu dilapor dianjurkan Sekretariat Soladiriti Rakyat meluahkan tidak puas hati terhadap kerajaan.

Kemudian semalam pula ahli parlimen pembangkang berhimpun di laluan masuk ke parlimen, biarpun Dewan Rakyat ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Muhammad Azmir berkata, kumpulan terbabit berhimpun semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.

“Saya yakin rakyat Malaysia sekarang lebih matang menilai kebenaran sesuatu maklumat yang diterima.

“Yang gagal sebenarnya siapa. Kerajaan telah menyediakan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Oleh itu kata beliau biarpun banyak siri himpunan seumpama itu didalangi pembangkang, namun ia tidak mampu menggugat Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas isu sama Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, himpunan sekumpulan aktivis terbabit tidak sensitif dengan keadaan negara yang sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19.

Katanya, kehadiran varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi sepatutnya menjadi ingatan kepada mereka.

Menurutnya juga biarpun pihak terbabit cuba menghasud dengan dakwaan kerajaan gagal, namun ia dianggap tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Sebanyak RM550 bilion diperuntuk kerajaan PN melalui lapan pakej bantuan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Begitu juga bantuan yang digerakkan PAS, badan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa masjid dan pelbagai pihak yang begitu prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -