PRU15: Sampaikan mesej Islam dengan bijaksana

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Ahli PAS Sabah perlu sentiasa meneguhkan hati dalam menyampaikan mesej Islam dengan hikmah dan bijaksana ketika suasana kini yang penuh ujian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu yang membawa syiar Islam rahmat sekalian alam perlu ditonjolkan dalam setiap gerak kerja membantu rakyat mengikut kesesuaian tempat di samping menyebarkan mesej kerajaan.

- Advertisement -

“Masalah dakwah dalam konteks di Sabah dan Sarawak terutamanya, kadang-kadang isu dianggap sensitif oleh masyarakat yang tidak memahami, kerana itu jentera PAS perlu mengangkat syiar Islam dengan hikmah dan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taujihat khas dan majlis perasmian penutup ijtimak PRU15 peringkat Negeri Sabah anjuran PAS negeri yang diadakan secara atas talian, kelmarin.

Menurutnya, petugas pilihan raya PAS perlu memahami dan berfikiran sebagai kerajaan dan bukan pembangkang kerana PAS kini adalah sebahagian daripada kerajaan.

Beliau turut mengingatkan petugas-petugas parti adalah dalam matlamat bekerja mencari reda Allah namun persiapan, alat, jentera adalah antara perkara yang perlu dipenuhi sesuai dengan keadaan bagi menjinakkan masyarakat dengan Islam.

Katanya, ahli-ahli perlu bertanya khabar kepada amilin dan murabitun berkenaan dana dan perjalanan gerak kerja parti.

“Kita memahami perlunya pengorbanan dan tabung-tabung dana pilihan raya mestilah diwujudkan. Walaupun sikit tetapi biarlah kita ada saham dalam perjuangan ini, tidak sama orang yang berjuang menderma sebelum menang dengan selepas menang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut menggesa agar semua terus istiqamah sehingga bertemu Allah dalam keadaan diredai-Nya.

“Bersabarlah dalam perjuangan ini, ada perkara yang kadang-kadang menuntut kita supaya terus sabar dan istiqamah kerana itu merupakan perkara asas dalam parti,” tambahnya.

Program yang padat dari pagi sehingga petang dengan pengisian bagi menghadapi pilihan raya itu turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusof, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling, Setiausaha PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -