Perspektif: Dekat sahaja, takkan tidak boleh?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang rakan yang menetap di sebuah kawasan petempatan bertingkat di Ampang baru-baru ini meluahkan kekesalannya kepada penulis berhubung sikap kurang prihatin seorang jirannya.

Jika sebelum ini isu kebersihan dan sikap pengotor jirannya menjadi tajuk rungutan Kamelia Felisya Abd Rahim, 35, setiap kali kami berbual melalui WhatsApp, kali ini dia membebel perihal kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula.

Cerita penjawat awam itu, dia hairan bagaimana anak jirannya yang sudah berkeluarga dan tidak lagi menetap di situ, menziarahi orang tuanya hampir setiap minggu sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuat kuasa.

- Advertisement -

Bukankah sepanjang tempoh sekatan pergerakan ini individu hanya dibenarkan ke tempat kerja (bagi sektor perlu) atau keluar membeli barangan keperluan sahaja, soalnya yang masih bujang.

Menurut wanita itu, berdasarkan kefahamannya, ketika PKP sebarang aktiviti ziarah tidak dibenarkan walaupun jarak rumah yang hendak diziarahi hanya sepelaung.

Ada sebab wanita itu marah. Ini kerana selain melanggar SOP dengan berziarah, anak jirannya itu juga melepak di luar rumah bersama isteri dan anak mereka yang baru berusia lima tahun tanpa memakai pelitup muka selain bermain badminton dengan penuh gembira, sekali gus mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.  

“Aku risau sebab sekarang varian Delta mudah merebak terutama melalui udara. Status kesihatan mereka pun tidak tahu sebab ramai yang dapat Covid-19 tidak bergejala dan mereka pula apabila datang suka buka pintu rumah dan lepak di luar.

“Apabila mereka main badminton dan melepak di luar rumah dengan tidak pakai pelitup muka, aku  tidak berani keluar sedangkan hari minggulah masa hendak beli barang. Tak sesuai main badminton sebab kawasan itu laluan penghuni keluar masuk,” katanya.

Ala, dekat rumah

Mendengar cerita wanita kelahiran Ipoh itu membuatkan penulis tertanya-tanya adakah alasan “rumah dekat” serta ketiadaan pemantauan pihak berkuasa dapat “menghalalkan” kegiatan menziarahi keluarga yang jelas melanggar SOP bagi mengekang penularan Covid-19?

Juga, tidakkah terfikir oleh individu berkenaan akan risiko yang dibawanya kepada orang tua dan juga anak-anak kecil?

Alasan “rumah dekat, hanya beberapa meter dari rumah, takkanlah tidak boleh melawat”, pernah dibangkitkan oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Columbia Asia Hospital Cheras Dr S. Malar Santhi menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram beliau, celotehdrmalar.

Doktor yang fasih berbahasa Melayu dan sering membuat perkongsian pelbagai masalah kesihatan itu meluahkan kekesalannya apabila ada segelintir masyarakat menggunakan alasan tersebut untuk melanggar SOP.

“Seorang pesakit saya, lelaki muda yang sudah berkahwin disahkan positif Covid-19. Ketika saya bertanyakan sejarah kontak, dia memberitahu setiap malam selepas makan malam, dia akan ke rumah emaknya yang terletak hanya 500 meter sahaja dari rumahnya.

“Ketika saya tanya ‘encik tahu tak sekarang ini PKP, tak boleh melawat’, dia boleh jawab, ‘yalah memang PKP, tetapi rumah emak saya dekat, memang tidak boleh pergi ke?’ Eh, saya tidak fahamlah, sudah berapa lama kita PKP, sudah hampir dua tahun, takkan masih tak faham PKP itu apa.

“PKP tidak boleh pergi rumah sesiapa pun. Jadi, ini salah ahli politik ke? Saya tidak nafikan keadaan politik sekarang tetapi ini juga masalah sikap kita yang turut menyeleweng dalam pematuhan SOP dan tidak perlulah menuding jari kepada sesiapa,” keluhnya dalam video tersebut.

Memang benar apa yang dikatakan Dr Malar itu. Dalam kemelut pandemik yang kini mencatatkan lebih sejuta kes di negara ini, netizen menggunakan laman sosial untuk saling menyalahkan, terutama apabila kes harian merekodkan angka tertinggi baharu.

Jujurlah kepada diri sendiri dan bertanya sama ada kita sudah betul-betul patuh SOP atau sambil lewa sahaja, kerana bukti di depan mata menunjukkan ada yang culas dan mengambil mudah sehinggakan saban hari ada sahaja kluster baharu jangkitan dalam komuniti direkodkan.

Masalah penafian

Mungkin ada yang memberikan alasan ‘kami sudah penat patuh SOP’ atau ringkasnya kelesuan pandemik, namun sedarkah kita virus Covid-19 ini langsung tidak kenal penat dan sentiasa bermutasi bagi memastikan kemandiriannya (survival) yang turut bermakna varian baharu lebih ganas dan berdaya tahan.

Setakat ini, pakar mengenal pasti varian Delta sebagai paling berbahaya kerana mudah merebak dan jangkitan berlaku dengan pantas, melalui udara, berbanding varian lain seperti Alpha, Beta dan Gamma.

Di sebalik hakikat ini, masih ada antara kita yang seolah-olah berada dalam sindrom “in denial”, berasakan virus itu tidak akan menjangkiti diri dan keluarga mereka, sedangkan statistik harian menunjukkan belasan ribu dijangkiti selain angka kematian pula konsisten tiga angka.

Pandangan itu dinyatakan Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Universiti Teknologi Mara Dr Rosnida Mohd Noh ketika diajukan tentang sikap jiran Kamelia Felisya.

“Mereka tidak dapat menerima situasi yang sedang kita hadapi dengan peningkatan jangkitan dan kadar kematian terlalu tinggi. Malangnya, apabila perkara buruk telah berlaku dan satu keluarga sudah dijangkiti, barulah ada perasaan menyesal.

“Pengalaman saya dengan pesakit dan ahli keluarga, keseronokan yang dirasai dengan berkumpul beramai-ramai itu langsung tidak berbaloi berbanding dengan kematian dan kesan jangka masa panjang yang dialami disebabkan Covid-19. Menyesal kemudian tiada gunanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Rosnida berkata sindrom penafian atau “in denial” ini tidak boleh dipandang ringan kerana faktor itu antara penyebab mereka menyeleweng dalam pematuhan SOP, apatah lagi statistik jangkitan baharu menunjukkan lebih 90 peratus kes yang dilaporkan sekarang merupakan kategori 1 dan 2, iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Situasi ini berpotensi menyebabkan golongan tersebut terus mengabaikan pematuhan SOP, katanya.

Jangan alpa!

Sejak pertengahan Julai lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mula mengeluarkan data pesakit baharu harian mengikut kategori gejala iaitu 1 hingga 5, dan berdasarkan data tersebut, peratusan mereka yang berada dalam kategori 3 hingga 5 adalah kecil.

Menurut Dr Rosnida, statistik itu tidak sepatutnya dipandang ringan oleh masyarakat kerana penyakit Covid-19 adalah dinamik dan tahap jangkitan boleh merosot dengan cepat iaitu dari kategori ringan kepada kategori 4 dan 5 dalam tempoh beberapa hari sahaja selepas diagnosis.

Apatah lagi, jika seseorang itu mempunyai sejarah menghidapi pelbagai penyakit seperti penyakit ‘tiga serangkai’ (jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi), katanya.

“Apa yang kerap kita lihat sekarang ialah ramai yang pada awalnya kategori 1 dan 2 dengan begitu cepat merosot kepada kategori 4 dan 5 sehingga memerlukan bantuan pernafasan. Malah, yang membimbangkan sekarang ialah jangkitan lebih banyak berlaku dalam kalangan orang muda, berbanding pada peringkat awal penularan yang majoritinya warga emas dan mempunyai penyakit komorbiditi seperti kencing manis dan penyakit kronik lain.

“Namun, dengan kehadiran VOC (varian membimbangkan) seperti varian Delta, kita mula melihat jangkitan lebih kepada orang muda dan kanak-kanak, dan varian baharu ini juga menyebabkan gejala lebih teruk dan kadar kematian lebih tinggi,” katanya.

Justeru katanya amat penting bagi setiap individu keluar dari kepompong penafian ini dan sentiasa berpegang pada moto #kitajagakita, kerana tanpa peranan dan sikap tanggungjawab seluruh ahli masyarakat, sukar untuk kita menang dalam perang lawan Covid-19 ini.

“Sedarlah daripada ‘denial’ ini. Bagi yang penat, bangkitlah kembali untuk bersama-sama memerangi pandemik ini. Kita tidak boleh putus asa kerana virus Covid-19 ini langsung tidak pernah putus asa untuk terus berkembang.

“Bagi memutuskan rantaiannya, kita perlu bersatu mematuhi SOP dan ambil vaksin kerana ia antara jalan keluar daripada polemik ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -