Penambahbaikan inisiatif lupus pinjaman peneroka

- Advertisement -

PADA 14 Julai lalu, saya bersama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Pengerusi dan pengurusan tertinggi FELDA mengadakan libat urus secara dalam talian dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) generasi baru FELDA.

Pada 21 Julai 2021, saya menyertai webinar yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama dengan lebih 400 warga FELDA khususnya dari wilayah Raja Alias.

- Advertisement -

Pada Sabtu, 24 Julai, saya melakukan lawatan ke FELDA Bersia, Gerik, Perak. Tujuan utama semua program ini adalah untuk mendapat respon peneroka FELDA mengenai inisiatif pelarasan pinjaman peneroka.

Alhamdulillah, peneroka menerima baik pengumuman YAB Perdana Menteri pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan pada 7 Julai 2021 untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion. Isu berkaitan pinjaman peneroka telah berlarutan sejak 20 tahun lalu yang mana saya difahamkan peneroka FELDA tidak pernah mendapat penyata pinjaman mereka.

Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk menarik peneroka FELDA untuk bersama FELDA melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari. Ladang akan diuruskan mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan pertanian mampan mengikut piawaian Malaysia dan Antarabangsa. Salah satu fokus utama FELDA ialah mengoptimumkan produktiviti ladang untuk lestari dan mandiri.

Oleh itu, tawaran pelarasan pinjaman ini adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada FELDA. Peneroka yang ingin menguruskan kebun sendiri juga disyaratkan menghantar hasil kebun kepada FELDA. 

Walau bagaimanapun berdasarkan libat urus dan turun padang, FELDA mendapat maklum balas dan cadangan beberapa penambahbaikan bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan inisiatif ini.

Dua isu utama yang dibangkitkan oleh peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian. Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan FELDA mendengar cadangan-cadangan ini.

Maka, FELDA telah bersetuju menambahbaik pelaksanaan inisiatif pelarasan pinjaman peneroka seperti berikut:

(i) peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan FELDA akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian;

(ii) penghapusan penuh kepada peneroka Bersama FELDA yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 yang juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian; dan

(iii) peneroka bersama FELDA yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah.

Sementara itu, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, adendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Saya bersama Pengerusi dan pengurusan FELDA bercadang mengadakan sesi libat urus bersama dengan NGO serta pemegang taruh FELDA pada 9 Ogos 2021 bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.

Untuk makluman, sehingga 2 Ogos, sebanyak 73,817 peneroka telah menandatangani perjanjian menerima inisiatif ini. Di 64 rancangan, lebih 90 peratus menandatangani perjanjian. Insya-Allah FELDA akan kembali ke atas landasan asal dan menjadikan agensi ini lebih hebat.

YB DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) – HARAKAHDAILY 3/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/227789400038/posts/10159779950000039/

- Advertisement -