Pemuda PAS negeri lapor polis surat istana bocor

- Advertisement -

IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak membuat dua laporan polis terhadap Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh dan beberapa pimpinan pembangkang atas dakwaan mempunyai komplot jahat melagakan kerajaan dan Istana Negara di dua lokasi berbeza di sini, semalam.

Laporan polis pertama dibuat Dewan Pemuda PAS Kuala Kangsar, Dewan Pemuda PAS Padang Rengas dan Dewan Pemuda PAS Sungai Siput diketuai Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Perak, Omar Adam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

- Advertisement -

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham bersama beberapa orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Teluk Intan, Dewan Pemuda PAS Pasir Salak dan Dewan Pemuda PAS Bagan Datuk membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait, pihaknya turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Hannah dan beberapa individu yang didakwa menyebarkan surat rasmi istana kepada awam yang jelas bertentangan Akta Rahsia Rasmi.

“Kami berpendirian kedua-dua isu ini merupakan tindakan gelocoh dan gopoh Ahli-ahli Yang Berhormat (seperti dalam laporan polis) mengurus sesuatu isu dan keadaan sehingga menimbulkam kegelisahan kepada orang awam.

“Inilah bentuk seruan politik persengketaan dan adu domba yang sangat bahaya kepada masyarakat dengan melibatkan fitnah terhadap Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang – Undang),” ujar Ahmad Faisal.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily bagi mengulas tindakan lapor polis yang dibuat DPPN Perak dalam menyahut seruan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tambah beliau, sekiranya terbukti bahawa segelintir pembangkang terlibat dalam dakwaan itu, ia jelas menggambarkan pembangkang cuba bertindak bermotifkan politik “machiavelli” yang menghalalkan segala tindakan untuk mencapai matlamat.

Katanya lagi, krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 perlu diberi keutamaan untuk diselesaikan dengan mengamalkan politik matang.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Sabah juga telah membuat laporan polis berhubung perkra sama di Balai Polis Sandakan, semalam.

Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain berkata, sekiranya dibuktikan warkah tersebut wujud, tentunya ia merupakan surat rahsia dan terhad kepada Muhyiddin sahaja.

“Tindakan ini juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan krisis diantara Istana dan pihak eksekutif negara.

“Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi dengan pertembungan,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama turut menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat itu yang dilihat cuba menggugat kestabilan dan keharmonian negara mahupun unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran tersebut.

“Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan,” ujarnya.

Di Pulau Pinang, Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor turut membuat laporan polis berhubung perkara sama di Balai Polis Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, hari ini.

Dakwaan dibuat terhadap Ahli Parlimen Segambut yang didakwa cuba untuk mengundang keadaan kacau bilau di dalam negara ini.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Tasek Gelugor, Mohd Khairil Haniff, laporan polis tersebut dibuat berdasarkan satu tangkap layar Aplikasi WhatsApp dari nombor telefon dipercayai milik Hannah yang menunjukkan satu komplot jahat telah didalangi beliau bagi mendatangkan kebencian dan permusuhan di antara Kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong.

Pihaknya juga menuntut pihak polis menjalankan siasatan terhadap Hannah dan beberapa pihak lain yang bersekongkol bagi memastikan negara aman.

“Laporan polis ini juga dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada Hannah Yeoh telah melakukan komplot jahat terhadap Yang di-Pertuan Agong dan melakukan kesalahan dengan keterlibatan dalam konspirasi menjatuhkan Kerajaan Malaysia yang menganggu-gugat keamanan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir dalam laporan sama, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor, Mohd Anis Shamsudin.

Kata Mohd Anis, siasatan perlu dilakukan terhadap Hannag mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat fitnah dan sebaran maklumat berbaur fitnah. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -