Olimpik: Hari ke-12 ‘sepi’ buat kontinjen Malaysia

Foto daripada Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.
- Advertisement -

TOKYO: Seperti dijangka, tiada pungutan pingat buat kontinjen Malaysia pada hari ke-12 temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung hari ini.

Satu-satunya wakil Malaysia yang turun beraksi dalam acara hari ini melibatkan atlet pelayaran Nuraisyah Jamil-Juni Karimah Noor Jamali, turut gagal dalam percubaan mereka berada dalam kelompok 10 terbaik, sekali gus terlepas peluang beraksi dalam perlumbaan perebutan pingat esok.

- Advertisement -

Gandingan atlet Malaysia itu yang beraksi dalam acara International 470 wanita menamatkan kempen Olimpik pertama mereka di Tokyo di kedudukan ke-19 daripada 21 pelayar secara keseluruhan dalam saingan berlangsung di Enoshima Yacht Harbour.

Pasangan yang dibimbing jurulatih kebangsaan Muhammad Sahir A Rahim itu memperoleh 158 mata bersih terkumpul selepas 10 perlumbaan.

Namun, tumpuan peminat sukan tanah air esok pastinya terarah kepada jaguh lumba basikal negara Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang akan turun berentap dalam acara pecut lelaki di Velodrom Izu, Shizuoka.

Kedua-dua pelumba itu akan mengharungi pusingan kelayakan bermula pada 3.30 petang waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia). Hanya 24 pelumba teratas akan layak ke pusingan 1/32 dan seterusnya pusingan 1/16, esok.

Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus juga akan beraksi dalam acara keirin yang akan berlangsung pada Sabtu.

Penampilan ratu terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform individu, turut bakal menjadi tumpuan peminat sukan tanah air di Pusat Akuatik Tokyo, petang esok.

Selepas gagal meraih pingat ketika bersama Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama wanita apabila menamatkan cabaran di kedudukan kelapan, Pandelela dan Jun Hoong menjadi harapan buat kontinjen negara dalam menyumbangkan pingat pada temasya Olimpik kali ini.

Kedua-dua penerjun itu akan beraksi pada pusingan kelayakan yang bermula pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia). Hanya 18 penerjun terbaik akan bersaing pada peringkat separuh akhir pada Khamis.

Peringkat akhir acara 10 meter platform individu turut akan berlangsung pada Khamis.

Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan, yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik,  juga akan turun bersaing pada pusingan pertama acara golf wanita individu Olimpik Tokyo di Kasumigaseki Country Club, esok (4 Ogos). – BERNAMA

- Advertisement -