Masuk fasa tiga PPN tetap perlu patuh SOP

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis menjadi antara tiga negeri pertama yang layak memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus membolehkan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan berkuatkuasa mulai esok.

Pengumuman tersebut dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat pada Isnin lepas.

Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man berkata, pengumuman itu memberi khabar gembira kepada seluruh rakyat di negeri tersebut.

Advertisement

“Alhamdulillah semalam mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan pergerakan Perlis ke fasa ketiga PPN.

“Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu akan dibenarkan beroperasi antaranya kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan.

“Namun, ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi yang akan diumumkan MKN,” katanya di sini, semalam.

Sehingga kini, Perlis mencapai sekitar 43.5 peratus jumlah vaksinasi Covid-19 iaitu melebihi 40 peratus jumlah yang melayakkan negeri itu beralih kepada fasa tiga PPN.

Perlis juga memenuhi dua lagi syarat kelayakan memasuki fasa tiga iaitu jumlah kes harian per 100,000 orang dan jumlah katil untuk pesakit Covid-19.

Sebelum ini, Perlis mencatat dua digit jumlah kes bermula 30 Julai dengan 13 kes, kemudian pada 31 Julai (16 kes )diikuti 1 Ogos (21 kes).

Menurut Azlan, sebahagian besar peningkatan kes positif sejak kebelakangan ini berkaitan aktiviti rentas negeri melibatkan individu tertentu.

“Jabatan Kesihatan Perlis menjelaskan sebahagian besar kes positif kerana dengan aktiviti rentas negeri.

“Tindakan merentas negeri oleh individu terbabit dengan kebenaran pihak berkuasa seperti pekerja yang berulang ke tempat kerja setiap hari atau terpaksa merentas kerana bekerja.

“Terdapat juga mereka yang menziarahi kematian atau merentas negeri kerana alasan kesihatan seperti bersalin,” katanya.

Menurutnya sungguhpun individu terbabit telah lengkap dua dos vaksin namun mereka masih berpotensi menyebarkan virus Covid-19.

“Walaupun mereka tidak berisiko untuk mendapat jangkitan diri sendiri kerana telah ada imuniti diri tetapi mereka boleh menjangkiti orang lain.

“Justeru itu pada mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam saya mengesyorkan supaya aktiviti rentas negeri yang melibatkan tenaga kerja kerajaan dan swasta serta ziarah tidak dibenarkan.

“Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Khas MKN,” katanya.

Oleh itu Menteri Besar berharap rakyat Perlis terus mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun telah dibenarkan memasuki fasa tiga PPN.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha vaksinasi yang kini meningkat lebih 3,000 dos sehari,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/8/2021