Kes Covid-19 turun dua minggu selepas Aidiladha

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan menjangka kes jangkitan Covid-19 akan berkurangan dalam tempoh dua minggu ini selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya sebelum ini menjangkakan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa jumlah keseluruhan kes di negeri itu menunjukkan penurunan walaupun masih ada jangkitan di beberapa kluster baharu.

- Advertisement -

“Sebelum ini kita telah jangka kes Covid-19 akan naik sedikit selepas musim perayaan dan jangka akan turun selepas dua minggu atau sebulan selepas hari raya sebagaimana berlaku sekarang.

“Setakat ini sebanyak 37 peratus daripada rakyat Kelantan telah mendapatkan dos pertama dan 20 peratus pula mendapatkan dos kedua. Insya-Allah kita akan capai imuniti 40 peratus menjelang akhir Ogos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin melibatkan peniaga-peniaga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Kompleks Islam Jubli Perak, di sini hari ini.

Dr Izani juga berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan penyediaan vaksin kepada Kelantan sebagaimana dinyatakan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini.

Katanya, walaupun kerajaan membuat permohonan tambahan vaksin pada Khamis lalu, namun pihaknya memahami proses yang perlu dilaksanakan memandangkan situasi berkenaan turut dialami negeri-negeri lain.

Bagaimanapun kata beliau pihaknya amat berharap permohonan itu dapat dipertimbangkan kerajaan persekutuan.

Menurutnya juga Jabatan Kesihatan Kelantan telah menggunakan hampir 100 peratus vaksin yang dibekalkan setiap minggu walaupun pendaftaran melalui MySejahtera dianggap masih rendah.

Selain itu proses vaksinasi turut dijalankan melalui Program Outreach Covid-19 yang diadakan di seluruh daerah sejak beberapa bulan lalu.

“Jadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada KKM kerana penggunaan vaksin yang sampai kepada kita digunakan hampir 100 peratus.

“Pendaftaran melalui MySejahtera boleh jadi kita (Kelantan) rendah tetapi kita ambil inisiatif seperti memberi suntikan vaksin secara outreach,” ujarnya.

Beliau juga berharap seramai 2,000 peniaga yang berdaftar di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mendaftarkan bagi menerima suntikan vaksin Covid-19. – HARAKAHDAILY

- Advertisement -