Kembali kepada solusi Islam atasi Covid-19

- Advertisement -

Oleh ZULFAHMI RAMLI

KRISIS
negara tampak seperti tiada kesudahannya apabila angka kes positif Covid-19 semakin meningkat, malah ia makin mencabar dengan bertambahnya varian baharu yang lebih mengganas di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, tindakan proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia wajar dipuji di atas langkah pencegahan dengan meningkatkan bilangan populasi penduduk yang disaring agar dapat dikawal sebarannya dalam komuniti.

Dalam pada itu, kita juga perlu bersedia dari sudut fizikal dan mental tentang hakikat bahawa wabak dan pandemik Covid-19 ketika ini adalah permasalahan yang dihadapi pelbagai negara di seluruh dunia.

- Advertisement -

Sebagaimana pernah disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kita semua akan hidup bersama virus Covid-19 tetapi dengan tindakan pencegahan menggunakan vaksin.

Namun, itu tidak bermakna ia boleh dikaitkan dengan kegagalan atas pelbagai usaha yang telah dilaksanakan kerajaan ketika ini merangkumi aspek kesihatan dan ekonomi yang kemudiannya mencetuskan pula krisis politik negara.

Oleh sebab itu, sebenarnya kita perlu berlaku adil dengan melihat kepada impak strategi yang sentiasa ditambah baik melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar keseluruhannya dapat ditangani dengan lebih efektif.

Antaranya program vaksinasi telah melepasi 500,000 suntikan sehari membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan dan dilaksanakan agar dapat menampung kelompongan yang wujud di mana-mana, termasuk memastikan survival kehidupan rakyat dapat dibantu mengikut kumpulan sasaran tertentu.

Masing-masing sebenarnya telah memainkan peranan atas keperluan yang saling berkait antara kesihatan, ekonomi dan politik dengan mengharapkan jalan keluar yang komprehensif melalui kerjasama semua pihak.

Maka, kita sebagai rakyat marhaen juga mestilah bertindak secara rasional dan menyempurnakan peranan kita masing-masing dengan mengamalkan kehidupan yang akan menyejahterakannya secara keseluruhan.

Selain daripada mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai langkah pencegahan, kita juga dituntut untuk tidak menyebar berita palsu atau menjadi rakyat yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan keadaan tidak stabil buat negara.

Malah, tindakan pemimpin pembangkang dan pemimpin tertentu yang berterusan mendesak pihak kerajaan telah mencetuskan krisis politik yang akan mengganggu usaha dan boleh menyebabkan krisis kesihatan dan ekonomi negara menjadi lebih parah.

Ayuh semua pihak, kita kembali kepada solusi Islam dengan saling bekerjasama membuat kebaikan serta berlapang dada atas segala usaha kita dan akhirnya bersama bertawakal kepada Allah SWT.

Pertamanya, pemimpin mestilah lebih kerap turun menyantuni rakyat marhaen dengan lebih berfokus dan bantuan terhadap mereka bukan sekadar dihantar dalam bentuk kotak makanan tetapi turut menawarkan peluang untuk membantu golongan tersebut agar mampu keluar daripada krisis ekonomi keluarga.

Maksud firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Keduanya, rakyat seharusnya bersabar dan bersyukur atas segala ujian yang menimpa kita semua ketika ini dengan terus berusaha mengukuhkan silaturrahim sesama kita dan saling bersimpati antara satu sama lain.

Maksud Hadis Nabi SAW: “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” [Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]

Ketiganya, kita semua hendaklah memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT serta beristighfar kepada-Nya kerana ia  adalah jalan penyelesaian kepada krisis yang dihadapi, insya-Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)

- Advertisement -