Kedah bakal terima lebih banyak bekalan vaksin

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kedah akan menyediakan fasiliti vaksinasi yang lebih besar sebagai persediaan untuk menerima lebih banyak bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Sains (MOSTI).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini berikutan negeri ini akan menerima 226,000 dos vaksin seminggu, berbanding 80,000 dos seminggu sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, penerimaan bekalan vaksin lebih besar itu juga adalah tindakan segera kerajaan bagi mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 memandangkan kes positif wabak berkenaan di Kedah semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, katanya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega dengan kapasiti 5,000 suntikan sehari akan dibuka di Sungai Petani Sport Center, sekali gus muncul sebagai PPV Integrasi terbesar di Kedah.

“PPV mega ini akan mula beroperasi mulai 6 Ogos ini dengan kerjasama PH Corp. PPV awam di Dewan Kenangan Sungai Petani pula akan dinaik taraf sebagai PPV Mega Integrasi bermula 11 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga pada masa yang sama meneliti cadangan pembukaan PPV integrasi di lokasi yang bersesuaian, selain menaik taraf PPV awam kepada PPV Integrasi supaya kadar suntikan vaksin dapat dipertingkatkan hingga maksimum.

Katanya, usaha meningkatkan bilangan penerima vaksin bukan sahaja melibatkan petugas kesihatan dan bukan kesihatan di pihak kerajaan, malah memerlukan kerjasama sukarelawan serta pihak swasta (PH Corp).

“Vaksinasi adalah antara jalan keluar yang kita ada buat masa ini. Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi tumpuan penuh kepada program ini sebagai langkah menghadapi peningkatan kes yang kian bertambah di seluruh daerah,” katanya.

Selain PPV sedia ada seperti di pusat kesihatan kerajaan, swasta dan klinik, katanya Kedah membuka PIKAS (Kerjasama Awam dan Swasta) di dua lokasi, iaitu di Kulim Hitech Park (KHTP) dan di Sungai Petani dengan kapasiti antara 3,000 hingga 5,000 suntikan sehari.

Sementara itu, Menteri Besar berkata PIKAS seterusnya di Jitra sedang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) dan MOSTI, bagi menampung pemberian vaksin kepada pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.

“Kedah juga komited menggerakkan program imunisasi secara outreach (PPV bergerak) ke dalam komuniti luar bandar.

“Saya yakin dengan persiapan dilakukan di Kedah, matlamat supaya 80 peratus penduduk negeri ini menerima dos lengkap vaksin Covid-19 akan tercapai menjelang akhir Oktober atau awal November,” katanya.

Sementara itu, katanya PPV Integrasi di Langkawi kini beroperasi hingga tahap maksimum, selain vaksinasi secara outreach di Bukit Malut dan Pulau Tuba.

Beliau mengharapkan program vaksinasi yang dipertingkatkan secara berterusan akan membina imuniti kelompok, menurunkan kes positif di Kedah dan mengatasi kekurangan fasiliti rawatan di hospital yang dilaporkan ketika ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -