Jentera penerangan diseru bersedia pecahkan tembok media

- Advertisement -

Oleh AISHAH NUR

PERMATANG PAUH: Seluruh jentera penerangan perlu bersedia memecah tembok media dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlaku tidak lama lagi, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Menurutnya, semua ahli diminta mempersiap diri bagi memperkasa dan memperkemas posisi PAS di media baharu agar setiap mesej-mesej parti dapat disebar serta disampaikan ke setiap lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Hal ini kerana media sosial kini menjadi tumpuan utama masyarakat dalam mendapatkan serta menyampaikan maklumat, apatah lagi dalam kekangan pergerakan fizikal yang terhad, ujarnya.

Beliau turut berpendapat bahawa menjadi tanggungjawap jentera penerangan untuk menguasai media sosial, kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Penerangan PAS Pulau Pinang secara maya, pada Khamis.

Beliau turut menyeru setiap ahli menjadikan Harakah sebagi sumber rujukan yang sahih dan terkini selain menegaskan bahawa rujukan maklumat rasmi penting dalam situasi hari ini yang penuh dengan kekeliruan maklumat dan fitnah yang berleluasa.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof berkata, menjadi keperluan pada era kini untuk menyampaikan dakwah melalui media sosial dalam usaha untuk jentera penerangan membina, memperbetul kefahaman dan mengajak masyarakat kearah yang benar.

Katanya lagi, sikap netizen yang bebas memberi komen tanpa batas dan beremosi, bakal memberi kesan yang buruk sehingga membahayakan akidah.

“Oleh itu, peranan untuk membina dan menghidupkan Islam di hati netizen mesti menjadi suatu kewajipan kepada setiap ahli PAS,” ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa, PAS konsisten sebagai sebuah parti dakwah, tarbiyah dan siasah sentiasa istiqamah dalam memperjuang dan mendaulatkan Islam.

Di samping itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato’ Abd Rashid, turut mengingatkan setiap ahli agar terus berusaha sehabis baik bagi meningkatkan komitmen dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai penyampai maklumat parti agar dapat difahami serta diterima umum.

Konvensyen turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Zul Fadli Ramli dan Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Shuhaimi Embong. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -