‘Inilah kemabukan politik tahap luar biasa’

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan pembangkang berada dalam situasi kemabukan politik tahap luar biasa.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada angka 107 ahli Parlimen yang didakwa dimiliki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, angka 107 sering kali digunakan ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai modal untuk menunjukkan kepada dunia bahawa pihaknya mempunyai majoriti.

Advertisement

Tambahnya, tidak dapat dinafikan blok pembangkang sekarang mempunyai satu tujuan yang sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun hakikatnya, kata beliau mereka mempunyai pendapat berbeza pula mengenai siapa dalam kalangan mereka yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Dr Muhammad Faiz Na’aman

“Inilah dia kemabukan politik tahap luar biasa di negara kita. Mahu menjatuhkan tetapi tiada perancangan konkrit untuk membangunkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, jika pembangkang sendiri tidak mempunyai persetujuan di antara mereka, kumpulan tersebut mempunyai masalah untuk meyakinkan rakyat bagi mentadbir Malaysia dengan lebih efektif sekali gus menyelesaikan masalah negara akibat bencana skala global seperti Covid-19.

Semalam, Anwar mendakwa dengan jumlah 107 ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka ditambah ahli Parlimen lain, kerajaan sekarang sudah tumbang.

Sebelum itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen.

Muhammad Faiz berkata, Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja mendengar segala fakta dan statistik daripada kelompok pakar yang diiktiraf, malah memahami denyut nadi kehendak rakyat di luar sana.

Tambahnya, meskipun sukar untuk menyeimbangi kehendak masyarakat dalam sektor ekonomi dan tuntutan mengawal penularan wabak, Perdana Menteri akan terus berusaha menstabilkan keadaan dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pasukan petugas barisan hadapan serta kabinetnya.

“Sejak dari awal lagi kerajaan PN mengikuti segala prosedur perundangan melalui nasihat pejabat Peguam Negara dan juga bertindak dalam hal kesihatan berpandukan saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia suatu cabaran besar buat kerajaan PN yang memegang tampuk pentadbiran negara ketika wabak Covid-19 mengganas di seluruh dunia dan semakin mengganas hingga kini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/8/2021