Bantu cegah penularan Covid-19, bukan ambil kesempatan

- Advertisement -

Oleh WAN SYAHIRAH

KUALA LUMPUR:
Pelbagai kerja boleh dilakukan untuk membantu negara berhadapan dengan Covid-19, bukan dengan mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, Malaysia sebuah negara demokrasi yang membenarkan setiap individu mengeluarkan pandangan dan menyatakan pendirian.

- Advertisement -

“Namun ianya perlu dibuat dalam ruang lingkup yang dibenarkan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik. Saya ambil contoh hartal yang dilakukan oleh para doktor, meskipun ianya suatu perkara yang sewajarnya tidak perlu kerana terdapat laluan-laluan lain yang boleh dibuat,” ujarnya mengulas himpunan ‘baju hitam’ di Dataran Merdeka pada 31 Julai lalu.

Menurutnya lagi, himpunan ‘baju hitam’ berkenaan bukan sekadar di luar kawalan, bahkan tidak mengikut SOP yang ditetapkan, memperlihatkan perilaku yang sangat tidak sopan.

“Meskipun berbeza ideologi, sepatutnya kita tetap perlu memberi penghormatan kepada pemimpin negara,” jelasnya juga juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu.

Justeru, beliau menyeru semua yang terlibat dengan himpunan itu untuk bermuhasabah diri dengan penuh kesedaran sama ada tindakan itu memberikan penyelesaian sebenar kepada semua masalah yang berlaku ketika ini.

“Adakah dengan menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan itu satu penyelesaian? Adakah dengan menuntut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia meletakkan jawatan itu mampu menyelesaikan penularan pandemik Covid-19?

Beliau juga mengharapkan pihak polis mengambil tindakan tegas kepada para peserta dan mengenal pasti dalang yang menganjurkan himpunan itu.

“Kita melihat terdapat pimpinan politik yang hadir. Ini melihatkan suatu petanda kemungkinan bahawa di belakang semua gerakan ini ialah mereka yang terlibat dengan blok pembangkang,” tegasnya.

Beliau turut menggalakkan anak muda untuk melibatkan diri dengan pelbagai lagi aktiviti sukarelawan untuk menyelesaikan keperluan masyarakat pada hari ini.

“Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan, adalah lebih baik duduk di rumah. Keluarkanlah pandangan melalui cara lain yang lebih sihat seperti karya-karya lukisan, tulisan, dan video yang tidak membahayakan orang lain dan tidak juga membahayakan diri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -