Sampel kes positif Covid di Parlimen mungkin varian Delta

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menganalisis empat sampel RT PCR kes positif Covid-19, hasil daripada saringan yang dijalankan di Parlimen.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ini ialah untuk melakukan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) ke atas sampel-sampel tersebut yang telah diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

Katanya, keputusan awal hasil daripada PCR Genotyping Assay didapati bahawa  kesemua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau Kappa.

- Advertisement -

Namun, jelasnya dengan berdasarkan variant of concern (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Untuk makluman, ujar beliau kajian klinikal di luar negara serta juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus yang 1,200 kali lebih tinggi jika berbanding dengan kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

“Penjujukan genom penuh (whole genomic sequencing) akan terus dijalankan bagi pengesahan selanjutnya,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Terdahulu, beliau dalam satu kenyataan media memaklumkan KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai lalu ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai dengan mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen.

Menurutnya, penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

Justeru, ujar beliau semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -