Rakyat boleh nilai sikap pemimpin PH

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

IPOH:
Sebahagian besar pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) berarak dari Dataran Merdeka untuk masuk ke Parlimen namun laluan dikawal ketat polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), hari ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyifatkan tindakan pembangkang itu amat jelas memalukan sekali gus memberi contoh yang tidak baik kepada rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Katanya, hal demikian kerana PH dilihat tidak mempunyai sensitiviti dengan mengadakan perarakan beramai-ramai di saat barisan hadapan negara resah mengawal penularan Covid-19. 

“Dalam hal ini, rakyat dapat menilai dengan jelas siapakah yang gagal sebenarnya dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini.

“Ini bukan masanya untuk membincangkan hal pertukaran kerajaan. Yang lebih penting kerajaan mahupun pembangkang sama-sama berusaha membantu perangi wabak ini.

“Kita sebagai pemimpin, perlu tunjuk contoh yang baik pada rakyat dan sentiasa mengambil tindakan yang menguntungkan rakyat, bukan sebaliknya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut berkata fokus kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini ialah menyelesaikan dua krisis terbesar negara iaitu krisis kesihatan (Covid-19) dan juga ekonomi negara.

Oleh hal demikian, katanya wajarlah pihak pembangkang turut sama berganding bahu dengan kerajaan dan mengelakkan timbulnya krisis politik kepada negara ini. 

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol menyeru agar semua pihak mendukung usaha kerajaan dengan memainkan peranan masing-masing sebaik-baiknya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jelasnya, dalam situasi negara yang bergolak dengan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini, sinergi semua pihak amat penting agar wabak itu berjaya ditangani dan segera berakhir. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -