Peningkatan vaksinasi bukti kerajaan serius tangani Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar pemberian vaksin seluruh negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membuktikan kerajaan serius menangani pandemik.

Sehingga semalam, secara keseluruhan lebih 21 juta dos vaksin telah pun diberikan sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam berkata ini menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh untuk melindungi dan membantu rakyat.

- Advertisement -

Kata beliau, rakyat Malaysia juga telah memainkan peranan mereka dalam usaha itu dengan memberi kerjasama yang baik agar dapat divaksinkan segera.

“Saya yakin Malaysia akan dapat keluar daripada permasalahan yang melanda dunia ini. Rakyat dan kerajaan perlu teguh bersama bagi mencapai kejayaan tersebut.

“Moga kehidupan rakyat dapat diteruskan, sektor pekerjaan dapat dibuka dan ekonomi terus boleh dijana.

“Walau bagaimanapun kita semua perlu sentiasa mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut mengingatkan agar munajat dan pergantungan kepada Allah dipertingkatkan serta kerja-kerja amar makruf nahi mungkar perlu diteruskan.

“Natijahnya, insya-Allah, Allah akan akan wabak ini daripada bumi Malaysia khasnya dan dunia amnya,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 21,200,473 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi PICK yang dimulakan sejak 24 Feb hingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,247,659 menerima suntikan vaksin dos pertama dan 6,952,814 adalah dos kedua.

“Mengikut peratusan, 43.6 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, sementara 21.3 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka,” menurut JKJAV.

Bagi vaksinasi harian pula sebanyak 480,122 dos diberikan semalam dengan 298,236 adalah pemberian dos pertama manakala 181,886 lagi dos kedua. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -