Imam, ustaz bantu pulih semangat pesakit Covid-19

Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pesakit Covid-19 yang mendapat rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) memerlukan khidmat kaunseling secara berkala untuk bantu pulih emosi serta mengembalikan semangat mereka.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, inisiatif secara berkala itu bagi memberi sokongan moral selain menjaga kesihatan mental sepanjang keberadaan pesakit di PKRC terutamanya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Katanya, dengan adanya pengisian dan sokongan sekurang-kurangnya emosi pesakit di PKRC sekaligus akan membuatkan mereka lebih berasa redha dengan dengan apa yang berlaku.

- Advertisement -

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) untuk bantu pulih emosi, di mana akan dihantar imam dan ustaz untuk datang memberikan ceramah secara bekala di PKRC.

“Malah, kita tidak nafikan sudah tentu berlaku tekanan emosi apabila mereka terpaksa berjauhan dalam tempoh lama, iaitu perlu berada di PKRC selama 10 hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengkalan Chepa hari ini.

Ini kerana kata beliau tekanan emosi daripada segi gangguan kesihatan termasuk mental sering menjadi isu yang dititikberatkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan itu KKM juga menwujudkan khidmat Psychology First Aid (PFA) untuk memberi sokongan moral kepada semua bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan tetapi juga kepada pesakit,” katanya.

Pun begitu katanya, di Kelantan pihaknya akan mengambil inisiatif melekatkan nombor talian PFA di sekitar pusat PKRC bagi memudah membantu pesakit untuk menghubungi sekira punyai masalah berkaitan emosi.

Selain itu katanya, nombor berkenaan juga turut dibekalkan selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun setakat ini tekanan ketika berada di PKRC masih dapat dikawal dengan adanya khidmat daripada PFA,” ujarnya.

Dr Mohd Zurairie juga berkata, pihaknya merancang untuk menambah PKRC baharu susulan peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan, namun perkara itu masih peringkat perancangan.

Terdahulu beliau menerima sumbangan buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis dan rambutan sebanyak dua tan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Tanah Merah.

Sumbangan itu ditaja Pengarah Urusan AK Puyuh Emas, Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim.

- Advertisement -