Covid-19: Terima arahan KKM secara positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa mengambil nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penangguhan Sidang Dewan Khas Parlimen secara positif.

Tindakan itu sangat penting bagi memastikan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia dapat dikawal dengan berkesan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Katanya, penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat tidak menutup ruang untuk rakyat serta ahli parlimen pembangkang mengemukakan sebarang pandangan dan cadangan untuk mengatasi Covid-19 dengan berkesan.

- Advertisement -

Bahkan, beliau yakin sebarang saranan kepada kerajaan melalui pelbagai platform media terbuka luas untuk tujuan tersebut.

“Hari ini media sudah begitu telus, bahkan media hari ini terbuka dan semua pihak termasuk parti pembangkang juga memliki pelbagai saluran media untuk menyatakan pandangan mereka.

“Mereka boleh terus menyampaikan saranan kepada kerajaan melalui saluran yang sepatutnya,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambahnya, arahan KKM juga dilihat sebagai usaha untuk menghalang wabak daripada terus merebak melalui sidang khas parlimen tersebut.

Beliau turut berpandangan bahawa pemimpin dari kerajaan mahupun pembangkang perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

“Janganlah menunjukkan contoh yang negatif kepada rakyat sehingga mendorong rakyat untuk mengambil tindakan sama yang akan memburukkan lagi keadaan.

“Ia sekaligus menjejaskan usaha kerajaan dan sebahagian besar rakyat yang begitu komited mematuhi peraturan untuk mengani wabak ini daripada merebak,” katanya.

Mengulas mengenai himpunan ahli-ahli Parlimen Pembangkang di Dataran Merdeka pagi tadi, kata Kamaruzaman, ia adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar.

Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa pengumuman arahan penangguhan itu merupakan arahan daripada KKM dengan mengambil kira faktor keselamatan melibatkan ahli-ahli Parlimen dan petugas-petugas di Parlimen.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak agar semua pihak mematuhi arahan kerajaan terutama sekali pemimpin pembangkang supaya bertenang dan bersabar menunggu masa yang sesuai untuk berpolitik seperti dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Apabila kita telah keluar daripada wabak ini, kita akan terus mengadakan PRU (Pilihan Raya Umum).

“Jadi, janganlah pihak pembangkang mencetuskan suasana keruh, sehingga menjejaskan potensi kita mengawal penularan Covid-19.

“Sepatutnya pihak pembangkang perlu mengambil peranan aktif, gesa selurh rakyat untuk mematuhi peraturan.

“Kerana semakin cepat kita keluar dari wabak ini, maka semakin cepatlah PRU akan diadakan yang juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang untuk berkempen, berpolitk seterusnya menjalani PRU dalam keadaan yang selesa,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -