Bebas dari COVID-19 dan golongan politik pelampau

- Advertisement -

DALAM pada kalut kumpulan pembangkang diketuai PH yang didominasi DAP berhimpun dan berarak di tengah bandaraya KL kelmarin dengan slogan anti kerajaan, kerajaan gagal dan sebagainya, negara bakal mencatatkan pencapaian yang wajar dibangga bulan ini.

Dalam bersungguh menghadapi peperangan menentang pandemik COVID-19 menurut laporan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau CITF Lembah Klang yang kini mencatatkan kes positif tertinggi dalam negara bakal mencapai kadar 100 peratus yang telah menerima vaksinasi pertama.

- Advertisement -

Setakat tengah malam 30 Julai rekod menunjukkan sejumlah 5,566,789 penerima atau hampir 90.3 peratus penduduk dewasa di Selangor, KL dan Putrajaya telah menerima dos pertama masing-masing. Manakala untuk dos kedua 2,113,511 atau 34.3 peratus telah menerimanya.

Ini bermakna menjelang hujung Ogos ini keseluruhan warga dewasa di Lembah Klang telah menerima dos pertama masing-masing dan dengan itu Lembah Klang menuju ke sasaran imuniti kelompok seawal-awal suku keempat tahun ini juga.

Di Labuan contohnya kes positif susut secara drastik (semalam cuma 9 kes) setelah hampir 80 peratus penduduknya selesai divaksinasi. Jika Labuan boleh Lembah Klang juga boleh. Dengan kerja kuat semua pihak khasnya para frontliners dan kerjasama padu rakyat jelata tidak mustahil kita mampu memulihkan kehidupan rakyat dan negara melalui pelan pemulihan kerajaan.

Lantas ini bukan masanya berpolitiking, menjadi juara jalanan yang dalam waktu yang sama melanggar SOP dan mendedahkan orang ramai serta kaum keluarga sendiri dengan virus bahaya ini. Mereka yang berhimpun di KL kelmarin tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keamanan, kestabilan dan segera pulih dari pandemik ini.

Mereka sekadar proksi pembangkang yang mahu mencuri kesempatan, menangguk di air keruh atas kesusahan dan kesempitan rakyat demi agenda politik peribadi masing-masing. Mereka bukannya peduli nasib rakyat pun.

Kita sesungguhnya mahu segera bebas dari bahana pandemik ini dan juga perlu bebas dari golongan politik pelampau yang gila dan laparkan kuasa semata-mata. Bersama kita berjaya melawan pandemik ini dengan izin Allah S.W.T.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1565047317167932/

- Advertisement -