20 kilang kitar semula haram ditutup sejak setahun lalu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI:
Kerajaan Kedah menolak dakwaan bahawa terdapat ratusan kilang kitar semula membakar sisa yang tidak boleh dikitar semula di sekitar bandar ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ei, berkata malah banyak tindakan telah diambil terhadap kilang kitar semula yang beroperasi secara haram.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 20 kilang haram yang ditutup sejak setahun lalu.

“Penutupan kilang haram adalah hasil dasar kerajaan negeri yang mahu  mengawal dan membawa keluar industri ini dari kawasan bandar Sungai Petani,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menetapkan industri kitar semula plastik akan dipusatkan di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau dalam tempoh dua tahun selepas pembangunan infrastruktur di situ lengkap.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal pada 29 Julai lalu yang mendakwa mengenai kewujudan ratusan kilang kitar semula di Sungai Petani, sekali gus menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar.

Dr Robert turut menafikan terdapat kebakaran besar yang melibatkan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling.

“Tiada kebakaran di situ dalam tempoh terdekat ini. Oleh itu, saya ingin  mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada masyarakat, apatah lagi tidak berfakta, mengelirukan serta menimbulkan rasa panik terhadap orang ramai,” tambah Adun Sidam itu.

Mengulas mengenai  isu pelupusan sisa pepejal secara haram di Kampung Kemumbung, katanya Jabatan Alam Sekitar mengesahkan kualiti air Sungai Muda tidak terjejas.

“Pihak yang terbabit dalam perbuatan itu juga telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan dijatuhi hukuman.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan  berkaitan serta pegawai MPSPK, Jabatan Alam Sekitar dan SWCorp yang  sangat komited dalam tugasan terutama ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -