UniSHAMS dipilih jadi PPV awam bermula hari ini

- Advertisement -

KUALA KETIL: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah dipilih menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam bermula hari ini.

- Advertisement -

Ia merupakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama di negeri ini yang melaksanakan tanggungjawab itu dan ketiga kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah Baling.

Naib Canselor UniSHAMS, Prof Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, sebagai IPT Islam milikan penuh kerajaan negeri, pihaknya amat berbesar hati kerana diberikan peluang ini oleh pihak KKM.

“Untuk bersama-bersama melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam usaha Kerajaan menangani penularan wabak COVID-19.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri Kedah kini telah memasuki fasa kedua dan PPV awam UniSHAMS dijangka akan menyantuni penduduk di sekitar bahagian Selatan Baling.

“Iaitu Kuala Ketil, Kejai, Inas, Sedim, Labu Besar, Teloi, Tawar, Bakai dan kawasan sekitarnya. Dianggarkan sebanyak 80 peratus dari jumlah komuniti setempat akan menerima suntikan vaksin menjelang penghujung bulan September 2021 di PPV awam UniSHAMS.

“Kerjasama melalui Kulliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan serta pihak KKM Negeri Kedah adalah satu inisiatif pihak UniSHAMS dalam usaha ‘Memasyarakatkan Universiti’,” ujar beliau. 

Terangnya, pemilihan UniSHAMS oleh pihak KKM adalah berdasarkan faktor demografiknya yang terletak di tengah-tengah Segi Tiga Emas iaitu di antara kawasan Baling, Kulim dan Sungai Petani. 

Selain itu, UniSHAMS juga menurutnya, terletak berhampiran dengan kawasan Gurun dan Sik serta amat strategik bagi mensasarkan jumlah maksimum penerima vaksin.

Dimaklumkan, lokasi PPV Awam UniSHAMS terletak di Bangunan CIFER, A6, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana lengkap termasuk akses internet. 

Juga dewan, bilik, tandas, surau, ruang parkir yang selesa dan mencukupi serta mesra orang kelainan upaya (OKU) yang pastinya akan memudahkan proses pemberian vaksinasi ini dilaksanakan.

Dalam usaha memastikan tahap keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan PPV Awam UniSHAMS, telah ditetapkan bahawa laluan masuk utama bagi penerima vaksin melibatkan penduduk setempat adalah melalui Pintu A dan Pintu B sahaja. 

Selain itu, pihak UniSHAMS turut menyediakan papan pandu arah ke PPV Awam UniSHAMS untuk memudahkan penerima vaksin.

Dalam mendepani pandemik COVID-19, UniSHAMS meneruskan penawaran bagi sesi kemasukan Jun, September dan Disember kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, STAM. 

Serta mereka yang ingin meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi di peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) dengan menawarkan lebih 42 program menarik bermula di peringkat Asasi sehingga PhD.

Bidang ditawarkan adalah Pengajian Islam, Syariah, Usuluddin, Al Quran, Bahasa Arab, bidang Pengajian Pengurusan seperti Muamalat, Kewangan Islam, Pengurusan, Perakaunan, Teknologi Maklumat, Hospitaliti, Seni Kreatif, Seni Kulinari, Pelancongan, Kaunseling serta bidang Professional seperti Perubatan dan Sains Kesihatan. 

Buat masa ini, proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) masih terus dilaksanakan secara atas talian, sehingga pelajar dibenarkan kembali semula ke kampus untuk pengajian secara bersemuka, tertakluk kepada arahan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

“Pihak pengurusan UniSHAMS amatlah berharap agar sumbangan kerjasama yang diberikan ini akan dapat membantu pihak Kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 serta mencapai ‘herd imunity’ dengan lebih efektif. 

“Bersamalah kita memainkan peranan sebagai ‘frontliners’ untuk keluarga dan juga komuniti kita. Jangan sesekali kita leka dalam peperangan menentang COVID-19 ini. 

“Ayuh rakyat Malaysia, kita jayakan PICK ini. Kekal bijak, kekal selamat! Ayuh bersama kita putuskan rantaian COVID-19,” seru Prof Dr Asmadi. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -