KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenaan untuk menjadikan Istana Balai Besar di sini sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk menerima vaksin Covid-19.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, baginda turut menitahkan agar semua rakyat dalam dan luar Kelantan supaya mengambil tahu peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.
“Baginda memuji rakyat yang telah mendaftar untuk divaksinkan dan baginda mengampuni perkenan supaya pintu Istana Balai Besar dibuka kepada rakyat untuk pelaksanaan PPV dan dibuka bagi kemudahan rakyat dapat vaksin.
“Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra juga prihatin terhadap masalah dan kekangan yang dihadapi KKM dalam memastikan kelancaran proses vaksinasi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pejabat Sultan Kelantan bekerjasama Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan program vaksinasi Covid-19 bermula hari ini bagi fasa kedua, selepas fasa pertama pada 9 Jun lalu, melibatkan kira-kira 350 pegawai dan kakitangan Istana.
Sementara fasa kedua katanya, yang bakal berlangsung selama lima hari itu melibatkan lebih kurang 2,000 penerima termasuk ahli keluarga kakitangan Istana Kelantan, Kerabat D’raja Kelantan dan rakyat jelata.
Malah katanya lagi, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra juga amat prihatin terhadap kekangan yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan kelancaran proses vaksinasi.
Keprihatinan itu ujar beliau, diterjemahkan melalui pengurniaan sumbangan lima buah peti top loading bagi menyimpan bekalan vaksin Covid-19 dalam kuantiti yang besar kepada Jabatan Kesihatan Negeri.
“Beberapa program lain yang sedang dalam perancangan pihak kami akan diadakan di Istana Balai Besar ini juga adalah program penyerahan bakul makanan kurniaan Sultan Muhammad V kepada penduduk yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Baginda menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan hadapan terutamanya kakitangan KKM yang tidak kenal penat lelah bertungkus lumus memastikan kes ini dilandaikan secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2021