Selama Bermunajat himpun sekitar 1,000 peserta

- Advertisement -

LARUT: Kira-kira 1,000 penduduk daerah Selama menyertai program Selama Bermunajat secara atas talian anjuran Pusat Khidmat ADUN Selama di Masjid As-Salam Sungai Bayor, di sini semalam.

ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, program ini adalah munajat memohon kesejahteraan daripada Allah S.W.T dan solidiriti atas penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Hulu Selama.

- Advertisement -

“Di samping kita ikhtiar macam-macam, kebergantungan kita kepada Allah sangat perlu dan kita harap semua pihak dapat berkempen supaya jangan lupa kebergantungan terhadap Allah.

“Tekanan mampu diseimbangkan apabila mereka menyertai program sebegini, dengan PKPD, COVID-19 dan sebagainya, ia mampu meredakan,” jelasnya selepas program tersebut.

Program yang kali pertama diadakan secara atas talian melalui aplikasi Zoom itu mendapat sambutan memuaskan walaupun menghadapi gangguan teknikal.

“Walaupun menghadapi beberapa kesukaran terutamanya jaringan internet yang lemah, Alhamdulillah kita mendapat penyertaan yang memuaskan dan kita akan perbaiki kelemahan dalam pelaksanaan program sebegini selepas ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, bantuan barangan basah dan makanan keperluan asas turut disumbang kepada penduduk Hulu Selama sejak PKPD dikuatkuasakan.

“Bantuan makanan asas telah pun sampai, makanan kering dan basah seperti ayam dan ikan turut disampaikan yang disumbangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pusat Khidmat ADUN Selama kepada lebih 900 keluarga,” katanya.

Mana-mana individu yang ingin menyumbang kepada Tabung Dana PKPD Ulu Selama boleh berbuat demikian dan salurkan sumbangan ke Tabung Dana Prihatin Rakyat, Maybank (158051891123).

PKPD Hulu Selama sedang dilaksanakan selama dua minggu bermula 26 Julai melibatkan empat perkampungan termasuk Kampung Teluk Mas, Kampung Sungai Siputih, Kampung Tapah dan Kampung Garok. 

Majlis munajat dipimpin sendiri Mohd Akmal ini turut disertai Timbalan Speaker DUN Perak, Ustaz Khalil Yahaya yang juga ADUN Kubu Gajah. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -