PAS konsisten perjuang agenda Islam

Oleh DANISYA ISMAIL

IPOH: PAS merupakan sebuah parti yang konsisten memperjuangkan agenda Islam sejak awal penubuhannya lagi, demikian kenyataan dijelaskan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.

Katanya meski kini suasana politik negara dilihat bergolak, namun PAS terus beristiqamah bergerak memperjuangkan masyarakat dan pemerintah dalam melaksanakan nilai-nilai Islam demi mencapai kedaulatan negara.

Advertisement

“Sehingga setakat ini, PAS terus istiqamah dalam agenda Islam. Jangan mengatakan bahawa PAS telah lari daripada dasar, (atau) PAS sudah tidak seperti dahulu. Tujuan dan matlamat PAS tidak pernah berubah.

“Oleh itu, bagi mencapai matlamat tersebut, maka kita perlu bergerak secara bersepadu dan komprehensif. Kita tidak berjalan secara picisan. Kita mesti bergerak dibawah satu induk PAS,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata aluan di Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Perak sekali gus merasmikan konvensyen itu, semalam.

Serunya, ahli-ahli PAS hendaklah sentiasa menjadi contoh terbaik dalam masyarakat dengan mengekalkan imej yang berakhlak agar ahli PAS dilihat berbeza dengan parti-parti lain.

Beliau turut menegaskan setiap ahli mestilah menjadikan platform media sosial sebagai medium dakwah yang utama kerana ini adalah norma baharu masyarakat hari ini.

Mengulas isu semasa kini, jelas Razman agenda Pakatan Harapan (PH) kini ialah menggugat kestabilan politik negara agar mereka dapat kembali berkuasa sebagai kerajaan sebelum tibanya Pilihanraya Umum (PRU) ke-15.

Oleh itu, serunya agar ahli PAS sentiasa merujuk sumber yang sahih dalam memahami strategi pimpinan PAS agar tidak menyimpang kefahaman dan mudah terpengaruh dengan agenda musuh. – HARAKAHDAILY 1/8/2021