Dakwaan dilantik PM interim hanya khabar angin

- Advertisement -

BERA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menyifatkan dakwaan dirinya akan dilantik sebagai Perdana Menteri interim hanya sebagai khabar angin yang tular di portal media dan media sosial.

Beliau berpandangan bahawa dakwaan itu berkemungkinan dibuat bagi memecahbelahkan atau mengeruhkan suasana dalam kerajaan, yang sedang berusaha menangani permasalahan lebih besar iaitu penularan Covid-19 dan kesusahkan rakyat dalam situasi pandemik sekarang.

- Advertisement -

“Saya juga difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada istilah Perdana Menteri atau kerajaan interim…itu saya anggap hanya khabar angin. Kita tidak perlu layan bila ada pihak yang hendak memecahbelahkan kerana jika dilayan, ia akan bertambah teruk.

“Jangan terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan kerana tindakan yang sepatutnya ialah mendamaikan atau menyejukkan suasana. Mari kita bersatu kerana tanggungjawab kita lebih besar dan kenapa tidak kita fokus kepada perkara tersebut,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di Masjid Charuk Puting serta meninjau pelaksanaan jambatan Guai di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan di portal media semalam, bahawa dirinya mempunyai sokongan kuat dalam kalangan anggota Kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri interim bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan dakwaan rundingan mengenainya sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata isi kandungan surat bertarikh 29 Julai lepas, yang menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada kepala suratnya, mengenai 40 ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, sebagai sah.

Katanya, surat yang meletakkan namanya pada bahagian bawah sebagai ‘penghantar’, dibuat selepas bertemu dan mendapatkan persetujuan 39 ahli Parlimen BN terlibat, menyebabkan beliau berpandangan kenyataan Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz bahawa surat itu palsu hanya berkaitan isu penggunaan kepala surat berkenaan.

“Bila saya hendak buat kenyataan akhbar, nak guna letter head (kepala surat) apa? Letter head BN lah kerana saya dan MP yang lain juga adalah dari BN. Bagi saya, tidak timbul isu kerana yang penting ialah isi kandungannya iaitu 40 orang daripada 42 ahli Parlimen BN menyokong kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Ismail Sabri berpandangan perkara itu juga tidak bertentangan dengan ketetapan Majlis Tertinggi Umno yang memberi kebebasan kepada ahli Parlimennya selain menteri dari parti itu tidak perlu meletak jawatan.

“… dari sudut undang-undang jika menarik sokongan (terhadap) Perdana Menteri, maka kerajaan akan tumbang dan ahli Parlimen terlibat berpandangan kita menyokong kerajaan supaya tidak tumbang,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -