COVID-19: Kepentingan pendermaan darah secara berterusan

- Advertisement -

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi stok darah yang semakin berkurang dan menekankan kepentingan pendermaan darah yang berterusan walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19. Ini untuk membantu pesakit yang memerlukan, termasuklah pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit thalasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks. Tambahan pula sejak kebelakangan ini terdapat ramai pesakit COVID-19 terutamanya yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.

- Advertisement -

Purata darah yang diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 beg darah, termasuklah di Pusat Darah Negara (PDN) yang memerlukan 3,500 – 4,000 beg darah setiap minggu bagi pembekalan kepada hospital-hospital di Lembah Klang. Namun, peningkatan kes-kes COVID-19 dari 31 Mei – 25 Julai 2021 (iaitu minggu epidemiologi ke 22 ke minggu epidemiologi 29) telah menyaksikan pengurangan kutipan darah yang ketara untuk seluruh negara seperti di dalam rajah di bawah terutamanya di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma yang tampil menderma.

Antara faktor penurunan ini ialah kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur. Tren penurunan ini amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit.

KKM melalui PDN dan Tabung-Tabung Darah sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah dan petugas dalam memastikan proses pendermaan darah yang selamat. Setiap tabung darah perlu mematuhi SOP berdasarkan ‘Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit COVID-19- Annex 49’ untuk meningkatkan keselamatan orang ramai. Garis panduan ini telah dikemas kini baru-baru ini selari dengan garis panduan antarabangsa.

Antara SOP yang dijalankan ialah memastikan penderma darah dan petugas kesihatan adalah sihat sebelum memasuki ruang pendermaan darah. Ini termasuklah saringan awal yang dilakukan ke atas bakal penderma di mana hanya yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan COVID-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah.

Petugas kesihatan juga akan memastikan para penderma memakai pelitup muka, menjalani ujian saringan suhu badan, mengimbas kod MySejahtera, pengisian borang deklarasi COVID-19 serta mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer sepanjang berada di lokasi pendermaan. Kedatangan penderma ke lokasi pendermaan sentiasa dipantau dan dihadkan kepada bilangan tertentu sahaja pada satu-satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal sewaktu proses pendermaan dipatuhi.

Selain dari itu, pembersihan meja pendaftaran, peralatan pendermaan darah, katil penderma dan stress ball yang telah digunakan selepas setiap kali pendermaan dilakukan secara berterusan oleh petugas kesihatan untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Justeru, KKM menyeru orang ramai untuk segera tampil menderma darah di Pusat Darah Negara, PDN Donation Suite, Midvalley Mall, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya dan Tabung-Tabung Darah yang berhampiran, serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang masa di semua hospital serta menjadikan pendermaan darah sebagai satu budaya hidup sihat. Berikut merupakan maklumat lanjut berkaitan waktu operasi Pusat Darah Negara:

  1. Pusat Darah Negara Jalan Tun Razak
    Isnin – Jumaat: 7.30 pagi sehingga 8.00 malam
    Sabtu & Ahad: 8.00 pagi sehingga 4.00 petang

2. Pusat Darah Negara Donation Suite, Midvalley Mall
Setiap hari: 10.00 pagi sehingga 6.00 petang

3. Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya
Setiap hari: 10.00 pagi sehingga 6.00 petang

Sila hubungi Unit Perhubungan Awam, Pusat Darah Negara di talian 03-26132657/ 2658/ 2776/ 2777 atau e-mel [email protected] bagi maklumat lanjut dan perbincangan perancangan. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang http://www.pdn.gov.my serta facebook PDN KKM bagi maklumat lanjut berkaitan waktu operasi, lokasi kempen derma darah dan perkembangan perkaitan perkhidmatan derma darah.

TAN SRI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
1 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -