Ahli PAS berperanan sebagai ejen penerangan

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KOTA MARUDU:
Konvensyen Penerangan PAS Sabah yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS telah berlangsung dengan jayanya secara atas talian petang kelmarin.

Seramai 150 peserta telah menyertai konvensyen itu yang melibatkan wakil daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan 19 PAS kawasan seluruh negeri bagi memperkasakan ejen penerangan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad ketika merasmikan program menegaskan bahawa media baharu merupakan sumber rujukan terkini masyarakat bagi mendapat informasi terhadap sesuatu isu.

“Semua ahli PAS di setiap peringkat memainkan peranan sebagai ejen penerangan yang baik agar masyarakat mendapat informasi yang sahih dan jauh daripada budaya fitnah.

“Setakat ini Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan akan bekerjasama bagi memastikan setiap ahli mendapat maklumat sahih berkaitan dengan parti,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling mengingatkan bahawa usaha-usaha memberi penerangan dan pencerahan kepada masyarakat sewajarnya secara berterusan bagi memastikan naratif-naratif negatif dari pihak musuh tidak mempengaruhi masyarakat.

Setiausaha PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan pula mengingatkan peserta supaya memastikan kerja jemaah perlu seiring dengan kerja mengurus kerajaan bagi memastikan jemaah tetap utuh.

Menurut Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah, konvensyen penerangan itu bertujuan mempersiapkan ejen-ejen penerangan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa didedahkan kepada maklumat yang sahih.

“Adalah menjadi satu kerugian kepada ahli PAS tidak mengambil kesempatan dalam menyebarkan maklumat terutamanya berkaitan bantuan-bantuan, peluang pekerjaan dan kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan sekarang kepada masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir dalam konvensyen ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Zul Fadli Ramli dan Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Shuhaimi Embong. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -