Pemimpin politik Sarawak sambut baik lanjut darurat

Tan Sri Dr James Jemut Masing
- Advertisement -

KUCHING: Pemimpin parti politik di Sarawak menyambut baik pelanjutan tempoh darurat selama enam bulan di negeri ini, langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata pelanjutan perintah itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, yang sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan, adalah wajar kerana ia berdasarkan nasihat yang disarankan pakar.

- Advertisement -

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata keputusan tersebut juga relevan jika dilihat dari situasi semasa pandemik di negeri ini dan untuk mengelak kemungkinan berlakunya lonjakan kes Covid-19 sekiranya pilihan raya diadakan sekarang.

“Namun, sekiranya dalam beberapa minggu akan datang, jika kita dapat melandaikan keluk kes Covid-19 di negeri ini, maka kita boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata Proklamasi Darurat di Sarawak adalah wajar atas faktor keselamatan dan nyawa rakyat di negeri itu yang kini berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang penularannya masih tinggi.

Katanya GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap keadaan akan menjadi semakin baik seiring dengan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila 100 peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin pada Oktober ini.

“Perkembangan itu nanti akan membolehkan banyak sekatan yang dilaksanakan dilonggarkan dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti biasa secara berperingkat.

“Justeru dalam keadaan itu, Yang di-Pertuan Agong mungkin berkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal yang akan membolehkan PRN diadakan bagi membolehkan rakyat di negeri ini melaksanakan hak mereka untuk memilih dan memberi mandat untuk mentadbir kerajaan negeri,” katanya, sambil menambah GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dalam perkara itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching dari parti DAP Dr Kelvin Yii berkata pelanjutan itu selaras dengan pendirian partinya yang mementingkan kesesuaian untuk mengadakan pilihan raya di Sarawak semasa pandemik Covid-19.

“Dengan (pelanjutan darurat) kerajaan hari ini perlu menggunakan tempoh ini sepenuhnya untuk melaksanakan pembaharuan dalam pilihan raya yang diperlukan untuk memastikan proses pilihan raya yang lebih selamat termasuk membenarkan rakyat Sarawak di luar Sarawak menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa perlu kembali ke negeri ini hanya untuk mengundi,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan itu diharap dapat mengelakkan perkara yang berlaku semasa PRN Sabah daripada berulang, yang menyaksikan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara selepas itu.

Beliau berkata keadaan di Sarawak lebih kritikal sekarang dengan kes Covid-19 varian Delta yang dilaporkan di negeri ini.

“Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) ingin kembali kepada rakyat untuk memperbaharui mandat mereka dalam pilihan raya tetapi kami berpendapat menyelamatkan nyawa manusia dan untuk mengelakkan lebih banyak jangkitan yang boleh membawa kematian dan penderitaan perlu diberi keutamaan daripada pertimbangan lain,” katanya.

GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PRS dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – BERNAMA

- Advertisement -