Ramai bekas pelajar Yik berkhidmat doktor, jurutera

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Masalah capaian internet yang rendah khususnya di kawasan pedalaman Kelantan diberi perhatian serius kerajaan negeri.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri berusaha untuk mengatasi masalah itu bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan lebih lancar.

“Kita sedar ramai pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajian mereka dengan baik kerana masalah liputan internet.

- Advertisement -

“Insya-Allah perkara itu sedang diatasi kerajaan negeri di bawah porfolio Teknologi Maklumat yang diketuai anggota Exco Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan,” ujarnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM yang cemerlang pada peperiksaan tahun lalu.

Seramai 122 pelajar menerima cenderahati yang program diadakan secara berasingan hari ini.

Penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lepas menyebabkan kerajaan memperkenalkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian.

Bagaimanapun bagi pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman berdepan dengan masalah mengakses internet.

Menteri Besar turut memuji pelajar yang gigih mencari ilmu walaupun terpaksa mengikuti pembelajaran secara atas talian.

Katanya, kerajaan negeri sangat berbangga dengan kesungguhan mereka belajar sehingga mencapai kejayaan cemerlang.

“Anak-anak kita begitu cemerlang dalam pelajaran khususnya pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (Yik).

“Walaupun mereka belajar dalam bidang agama, namun cemerlang dalam akademik. Malah sekarang sudah ramai dalam kalangan mereka berkhidmat sebagai doktor, jurutera dan lain-lain kerjaya,” ujarnya.

Pada peperiksaan SPM 2020 pelajar sekolah Yik mendapat kelulusan 94.56 peratus. Seramai 5,365 pelajar sekolah Yik menduduki peperiksaan SPM pada awal tahun ini.

Kelantan juga mendapat dana Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM700 juta bagi mempertingkatkan prasarana telekomunikasi dalam tempoh dua tahun. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -