Rakyat muak gelagat pembangkang di Parlimen

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Mesyuarat Khas Parlimen yang berlansung bermula Isnin lepas memperlihatkan kematangan Ahli Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbahas biarpun berdepan provokasi pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata sepatutnya ahli parlimen pembangkang menggunakan kesempatan bersidang dengan memberi idea menangani wabak Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

“Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada dua isu penting negara iaitu Covid-19 dan masalah ekonomi.

- Advertisement -

“Hentikan pembaziran waktu dengan membawa agenda politik peribadi serta parti masing-masing,” katanya.

Menurutnya pembangkang nampak beria-ia meminta pihak kerajaan mengadakan persidangan parlimen, namun setelah bersidang mereka tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Sebaliknya ahli Parlimen kerajaan yang berusaha bersungguh-sungguh memberi idea khususnya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi wabak sekarang.

“Sebaliknya pembangkang pula menuntut persidangan parlimen dipanjangkan dan mahu membuat undian terhadap ordinan darurat. Apa sebenarnya mereka mahukan,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen bersidang dengan penuh adab dan profesional, bukannya buat kecoh sehingga dicemuh rakyat.

Menurutnya fokus utama menangani Covid-19 dan pelan pemulihan negara yang dibincang pada persidangan khas tersebut.

“Rakyat sedang memerhati gelagat pemimpin, jangan sampai mereka muak dan jemu dengan sikap segelintir ahli parlimen sehingga menyebabkan seluruh ahli parlimen lain terpalit sama.

“Jika sikap ini diteruskan, rakyat akhirnya akan merasakan politik hanya medan untuk membawa agenda peribadi dan parti bukannya untuk membela rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -