Labuan siap sedia beri vaksin kepada kanak-kanak, remaja

- Advertisement -

LABUAN: Selepas kejayaan mencapai imuniti kelompok bagi membendung COVID-19, Wilayah Persekutuan Labuan kini bersiap sedia melancarkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata rancangan pelaksanaan vaksinasi yang komprehensif telah disusun untuk mencapai hampir 100 peratus imuniti bagi kira-kira 103,000 penduduk di pulau bebas cukai itu. 

- Advertisement -

“Kami sudah bersedia untuk menawarkan vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, hanya menunggu kebenaran dari Kerajaan Persekutuan sahaja,” kata kepada Bernama hari ini.

Pada 27 Julai lepas, Labuan telah lengkap memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk dewasanya sekali gus menjadi yang pertama dalam kalangan Wilayah Persekutuan dan negeri yang mencapai imuniti kelompok bagi memerangi COVID-19.

Jumlah itu meningkat kepada 82.44 peratus atau 56,471 daripada 68,500 penduduk dewasa yang layak untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), lengkap menerima dos kedua; dan sehingga semalam sekurang-kurangnya 97.08 peratus atau 66,500 orang dewasa menerima vaksin dos pertama.

Dr Ismuni berkata program vaksinasi menyeluruh untuk penduduk kampung berusia 18 tahun ke atas yang belum divaksin telah dijalankan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk dan ketua kampung.

“Pasukan penjagaan kesihatan bergerak telah dibentuk baru-baru ini bagi meneruskan usaha vaksinasi dari rumah ke rumah untuk pesakit yang terlantar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dr Ismuni berkata kaunselor berpengalaman juga akan disediakan tidak lama lagi bagi memberikan nasihat mengenai faedah vaksinasi kepada mereka yang masih berbelah bagi dan mereka yang keberatan untuk mendapatkan imunisasi COVID-19.

“Kami berazam untuk memberi penerangan kepada antara lima hingga 10 peratus penduduk tempatan yang masih ‘di atas pagar’ mengenai vaksinasi. Kami percaya masih ada yang ragu-ragu mengenai vaksinasi. Walaupun ia bukan diwajibkan, kami akan berusaha untuk mencapai hampir 100 peratus sasaran imuniti kelompok. Akan ada lebih banyak sesi penerangan bersama golongan ini,” katanya.

Dr Ismuni juga berkata kerjasama akan dijalin dengan pemain industri dan pemilik premis perniagaan mengenai vaksinasi untuk pekerja mereka, baik tempatan mahupun asing. – BERNAMA

- Advertisement -