Kestabilan politik sangat perlu – GPS

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengajak pemimpin-pemimpin politik memberi fokus ke arah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Setiausaha Agung GPS, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, tumpuan juga perlu diberi terhadap pemulihan ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik Covid-19 dan berusaha memulihkan ekonomi negara, kestabilan politik sangat diperlukan.

Advertisement

“Ahli-ahli politik penting menumpukan usaha menjayakan langkah-langkah melawan Covid-19,” katanya pada satu kenyataan seperti dilaporkan laman Malaysia Now.

Pada 10 Julai lepas GPS kekal dengan pendirian menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut laporan Utusan Borneo perkara itu ditegaskan Pengerusi GRS Dato’ Patinggi Abang Johari Openg.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak menegaskan sekarang bukan masa untuk berpolitik sebaliknya menumpukan usaha menangani krisis pandemik Covid-19.

“Pendirian kami (GPS) ialah menyokong Kerajaan PN dan Perdana Menteri.

“Sekarang kita tumpu membangun negara dan bukan masa untuk berpolitik. Semua ahli parlimen perlu bersatu untuk memacu negara keluar dari krisis Covid-19),” katanya.

GPS membentuk pakatan parti-parti di Sarawak selepas mengumumkan keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum lepas.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Gabungan parti itu lahir pada 12 Jun 2018 bagi membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan geografi Sarawak.

Kata Abang Johari, PBB, SUPP, PRS dan PDP sebulat suara membuat keputusan meninggalkan BN dan membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan Sarawak.

Kenyataan Setiausaha Agung GPS itu muncul ketika Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun pun semalam Timbalan Perdana Menteri Ismail Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan perdana menteri mendapat sokongan sekurang-kurangnya 40 ahli parlimen BN.

Ahli Parlimen BN terdiri daripada mereka daripada Umno, MCA dan MIC. – HARAKAHDAILY 30/7/2021