Kerajaan negeri bantu penduduk Orang Asli di lokasi PKPD

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAN | Foto RIZAL TAHIR

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri turut membantu masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pedalaman Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, enam kampung masyarakat tersebut di Pos Brooke dikenakan PKPD bermula semalam sehingga 12 Ogos berikutan berlaku penularan Covid-19.

Katanya kampung tersebut diletak di bawah pengurusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan negeri juga membantu penduduk Orang Asli yang terbabit dengan PKPD, cuma kita tidak mengetuai urusan agihan bantuan di sana.

“Sudah ada saluran yang ditetapkan kerajaan malalui agensi ditetapkan,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini media melaporkan enam kampung Orang Asli termasuk Kampung Cekau, Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau dikenakan PKPD.

Mohd Amar juga berkata, tok batin, KKM dan anggota pasukan keselamatan memastikan segala urusan di lokasi terbabit termasuk berkaitan suntikan vaksin berjalan lancar.

Menurutnya petugas KKM akan memasuki perkampungan itu bagi membuat ujian saringan Covid-19 dan suntikan vaksin.

“Saya yakin keadaan Covid-19 di sana terkawal dengan bantuan semua pihak termasuk KKM, tok batin dan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Kata beliau juga biarpun penduduk Orang Asli tinggal jauh di pedalaman, namun bantuan kepada masyarakat terbabit tetap diberi bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan harian.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat berkenaan biarpun mereka tinggal jauh di pedalaman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -