Gagal menang set pertama jejaskan permainan kami – Aaron

Foto daripada Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.
- Advertisement -

TOKYO: Kegagalan meraih kemenangan pada set pertama memberi kesan kepada corak permainan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga terpaksa akur kepada pasangan China Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam ini.

Pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu menyifatkan kekalahan tersebut menjadi titik perubahan kepada corak permainan mereka pada set kedua sehingga gagal menyaingi gandingan dari China itu.

- Advertisement -

“Pada set pertama kita mendahului hampir keseluruhan perlawanan, namun ketika saat kita memerlukan mata penting (crucial points), kita gagal. Kekalahan di set pertama menjejaskan tumpuan kami.

“Semasa set kedua, kita cuba menukar strategi tetapi pihak lawan terus memberi asakan. Kita cuba untuk mendapatkan mata, namun mereka bermain dengan lebih baik,” katanya yang jelas kecewa dengan kekalahan tersebut.

Pada aksi separuh akhir di Musashino Forest Sport Plaza, beregu utama lelaki negara itu terpaksa akur di tangan pasangan dari China itu yang menumpaskan mereka 24-22, 21-13.

Sementara itu, Wooi Yik berkata mereka perlu kekal positif bagi menghadapi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat berdepan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, setelah gagal mara ke perlawanan akhir.

Beliau berkata biarpun tumpas kepada pasangan Indonesia itu, mereka akan bangkit menampilkan aksi terbaik agar dapat membawa pulang pingat gangsa buat negara pada temasya sukan berkenaan.

“Kita perlu lebih yakin menentang pasangan Indonesia itu kerana mereka berpengalaman. Semasa perlawanan peringkat kumpulan, kita kalah tipis dan saya berharap kita dapat mempamerkan aksi terbaik esok,” katanya.

Pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik tumpas kepada beregu dari Indonesia itu, 16-21, 19-21. – BERNAMA

- Advertisement -