COVID-19 tidak halang pembuat wau Kelantan terima tempahan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Meskipun negara masih dilanda pandemik COVID-19 namun ia tidak menghalang sekumpulan anak muda dari Kampung Sireh, di sini, untuk meneruskan minat dalam seni pembuatan wau, yang merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu Kelantan.

Tinjauan di Flat Kampung Sireh mendapati tujuh hingga 10 anak muda berusia 20 hingga 30-an sedang menyiapkan wau puyuh iaitu ‘Wau Kelantan’ yang ditempah oleh pembeli.

- Advertisement -

Ketuanya, Muhd Nasru Aiman Mohd Zu, 31, berkata pembuatan wau puyuh tetap diteruskan dalam tempoh pandemik ini kerana masih ada tempahan selain tidak mahu seni tradisional itu terkubur.

Beliau berkata walaupun seni seumpama itu dilihat kolot berbanding permainan gajet moden namun ia masih memiliki peminat tersendiri.

“Alhamdulillah di kawasan ini masih ada anak muda yang berminat dan mereka mahu belajar mengenai cara membuat wau.

“Sebelum ini kami hanya membuat wau untuk pertandingan tetapi kini semakin ramai yang menempah untuk hiasan khususnya wau bersaiz gergasi,” katanya yang ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhd Nasru Aiman berkata beliau sendiri mewarisi kebolehan membuat wau daripada ayahnya Mohd Zu Man, 61, yang kini turut mengajar anak muda yang berminat menghasilkan wau. 

Beliau berkata ketika ini pihaknya menerima lima hingga enam tempahan dari seluruh negara dalam tempoh sebulan dengan wau puyuh bersaiz gergasi seperti berukuran 2×4 meter dijual pada harga RM350.

“Untuk membuat wau sebegini, kami menggunakan batang pinang yang diraut bagi dijadikan tulang belakang manakala sayapnya dibuat daripada buluh betong. Kerangka wau ini pula perlu dibentuk menggunakan cara tradisional dan perlu dijemur supaya tahan lama.

“Kami juga menggunakan plastik bagi menggantikan kertas supaya wau tidak mudah koyak apabila dinaikkan dan mampu bertahan lama,” katanya.

Muhd Nasru Aiman berkata wau bersaiz gergasi sebenarnya boleh diterbangkan ke udara tetapi memerlukan tenaga lebih lima lelaki dewasa dan lebih tenaga diperlukan sekiranya saiznya lebih besar.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan akur Pesta Wau Antarabangsa yang sering diadakan di Pantai Sri Tujoh, dekat Tumpat tidak boleh dianjurkan susulan pandemik COVID-19.

Katanya masa terluang itu boleh digunakan untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang sentiasa ada sekali gus memberikan pulangan agak baik. – BERNAMA

- Advertisement -