Berinfaq menyucikan jiwa

- Advertisement -

INFAQ adalah satu jihad

Jika kita menekuni pendekatan Tarbiyah Ilahiyyah melalui al-Quran, akan kita dapati bagaimana Allah Taala Yang Maha Bijaksana menjadikan infaq sebagai latihan jiwa dan permulaan untuk membuahkan roh jihad pada jalan Allah. Infaq atau derma atau juga amal kebajikan adalah merupakan satu cara Allah Taala mendidik hati manusia supaya disucikan daripada perasaan tamak dan sombong agar akhirnya berlapang dada untuk menerima tanggungjawab yang lebih besar.

- Advertisement -

Oleh kerana itu ketika mana berlakunya peristiwa Perang Tabuk, dalam suasana cuaca yang panas dan hasil tanaman sedang menunggu untuk dituai maka Allah Taala telah memerintahkan agar diiringi jihad nyawa dengan jihad harta kerana ia dapat mengosongkan hati daripada sifat malas, berat hati dan suka mencari alasan untuk mengelak dari melaksanakan satu pengorbanan yang besar.

Sempena peristiwa perang Tabuk Allah Taala berfirman:

ٱنفِرُواْ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُواْ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Keluarlah kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui)).”

(al-Taubah: 41)

Tangan kanan hulur, tangan kiri tidak tahu

Sebaik-baik Infaq ialah yang dibuat tanpa pengetahuan sesiapa kerana ia adalah tarbiyah jiwa yang cukup sukar dilakukan kerana hasilnya ialah ikhlas dalam beramal. Adalah menjadi lumrah apabila seseorang memberi, dia sama ada menginginkan pulangan hasil yang lumayan atau disebut-sebut namanya demi meraih sokongan.

Sememangnya suatu yang sangat sukar apabila kita memberi tetapi tidak mendedahkan diri kerana ia berlawanan dengan naluri manusia yang suka dipuji atas setiap kebaikan yang dilakukan.

Oleh kerana itu Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam Hadis yang membicarakan tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah Taala di hari akhirat kelak, antaranya ialah seorang yang bersedekah lalu disembunyikannya sehingga diumpamakan seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.

Baginda Rasulullah S.A.W bersabda:

ورَجُلٌ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ فأخْفَاهَا حتَّى لا تَعْلَمَ شِمَالُهُ ما تُنْفِقُ يَمِينُهُ

“Dan seorang yang bersedekah lalu disembunyikan sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.”

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no 1423)

Menceritakan kebaikan yang dilakukan atau bakal dilakukan bukanlah satu kesalahan atau dicela sekiranya ia dibuat dengan ikhlas demi menimbulkan dorongan kepada orang ramai supaya turut serta melakukannya atau sebagai satu penjelasan kepada orang ramai bagi mengelakkan timbulnya fitnah.

Malah menceritakan nikmat yang Allah Taala kurniakan juga adalah perlu sebagai tanda syukur kepadaNya. Namun semua itu perlu diiringi dengan sikap berwaspada kerana Iblis begitu licik menyelinap masuk merosakkan hati kita.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Dhuha ayat 11:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

“((Dan adapun dengan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau sebut-sebutkan (juga zahirkan sebagai tanda syukur kepadaNya)).”

Penyakit hati mensia-siakan infaq

Iblis cukup licik memainkan peranan untuk menghalang manusia daripada membuat kebaikan. Diragukan lebih dahulu dengan berbagai alasan untuk berinfaq sehingga niat asal berubah. Manakala bagi yang sedang beramal akan dirosakkan pula agar amal itu menjadi kosong tanpa pahala dengan menimbulkan sifat-sifat tercela seperti Riyak, Ujub, Sum ‘ah. 

Riyak maksudnya berbuat amal kebajikan bukan kerana Allah Taala sebaliknya kerana makhluk. ‘Ujub pula ialah setelah berbuat baik merasakan diri hebat, kagum dengan kebolehan diri sendiri serta berasa luar biasa supaya terhakis kekaguman terhadap Yang Maha Pencipta. Manakala Sum ‘ah ialah suka mendengar puji-pujian, mengejar populariti dan sanjungan manusia melalui kebaikan yang dikerjakan. 

Berkaitan dengan Riyak Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takut akan terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya: “Apakah itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi S.A.W bersabda: Itulah Riyak. Allah Azza Wajalla befirman pada hari kiamat kelak: “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu)!.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

Teruskan infaq walau dicela

Infaq, sedekah dan amal kebajikan adalah satu ibadah yang diharapkan dengannya ganjaran pahala daripada Allah Taala. Oleh itu mengapakah bersedih jika tidak dipuji? Kecewa apabila dipertikaikan? Marah apabila ada yang meragukan? Sedih apabila tiada yang mengagungkan? Berkecil hati apabila ada yang mengkritik?

Dalam berinfaq atau berbuat kebajikan kita perlu usaha tanyakan kepada hati, apakah pandangan manusia yang dicari atau pandangan Allah Taala. Sedangkan kita tahu kita sedang mencari kasih sayang Allah Taala tetapi kenapa kita tersilap menagih sayang manusia. Insya-Allah jika selalu dibisikkan dengan cara demikian maka akhirnya kita akan rasa seronok berinfaq dan membuat khidmat kebajikan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ‏

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.”

(Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

Allah Taala berfirman dalam surah al-Maidah ayat 5:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مَنْ يَّرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِيْنِهٖ فَسَوْفَ يَأْتِى اللّٰهُ بِقَوْمٍ يُّحِبُّهُمْ وَيُحِبُّوْنَهٗٓ ۙاَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ اَعِزَّةٍ عَلَى الْكٰفِرِيْنَۖ يُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَلَا يَخَافُوْنَ لَوْمَةَ لَاۤىِٕمٍ ۗذٰلِكَ فَضْلُ اللّٰهِ يُؤْتِيْهِ مَنْ يَّشَاۤءُۗ وَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ

“((Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya)).”

Terus berinfaq akan menjadikan hati bertambah suci dan jernih daripada sifat-sifat tercela di samping ia juga dapat membersihkan harta yang mungkin tercemar ketika bermualamah dengan manusia.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

“((Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui)).:

Susuli infaq dengan kebaikan

Allah Taala berfirman dalam ayat 195 surah al-Baqarah:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“((Dan infaqkanlah harta pada jalan Allah dan jangan campakkan tanganmu (diri kamu) kepada kehancuran dan hendaklah kamu berbuat baik sesungguhnya Allah Suka orang-orang yang berbuat kebaikan)).”

Dalam tafsir al-Wajiz fi Tasfir Kitabil Aziz dihuraikan maksud (Dan hendaklah kamu berinfaq pada jalan Allah) ertinya pada ketaatan kepada Allah iaitu jihad dan selainnya. Manakala (dan janganlah kamu campakkan tanganmu (diri kamu) ke dalam kehancuran) ertinya jangan enggan untuk berinfaq bagi tujuan jihad. Manakala (dan hendaklah kamu berbuat baik) pula ertinya ialah berbaik sangka dengan Allah Yang akan Mengurniakan pahala dan gantian yang lebih baik.

Infaq harta, menolong orang yang susah dan memberikan khidmat kebajikan adalah suatu amalan yang sangat terpuji dan ia menjadi Sunnah Nabi S.A.W, justeru ia mestilah sentiasa disusuli dengan kebaikan dan mengelakkan sebarang kemudaratan kepada orang lain. 

Semoga Allah Taala sentiasa mempermudahkan usaha kita dalam berinfaq dan membuat amal kebajikan serta melindungi kita daripada penyakit hati yang akan merosakkannya.

Dalam surah al-Ra’d ayat 22 Allah Taala berfirman:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَؤُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ

“((Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik, mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat)).”

Wallahu A’lam

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -