11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semalam

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak sebelas kes positif Covid-19 telah dikesan di Dewan Rakyat, Parlimen pada Khamis, 29 Julai.

Sepuluh daripadanya dikesan melalui RTK Ag saliva test kit dan satu melalui RT PCR, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berikutan itu katanya, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

Jelasnya, semua individu yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

KKM sebelum itu telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

Bagi tujuan itu, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai 2021 dan tamat pada jam 8.00 malam.

Pada 29 Julai, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

Daripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit.

Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala.

Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 tersebut. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -