RM322.5 bilion bantuan rakyat sepanjang Covid-19

Tengku Zafrul
Foto Ihsan Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan lapan pakej stimulus ekonomi dan bantuan rakyat bersama RM322.5 bilion sepanjang berdepan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, langkah tersebut diambil untuk memastikan nasib setiap lapisan rakyat Malaysia terbela di samping memperkasa sistem kesihatan awam, menyokong kelangsungan perniagaan dan memastikan ekonomi negara terus bertahan.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion ringgit sejak wabak Covid-19 melanda negara.

“Pada tahun 2020 sahaja, pakej yang dilaksanakan bernilai RM305 bilion ringgit atau 22.7 peratus daripada KDNK (Keluaran Kasar Dalam Negara).

“Ini merupakan antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika
Syarikat.

“Saya akui, cabaran terbesar kita dalam menangani krisis ini ialah mengimbangi pelbagai keperluan dengan sumber kewangan negara yang terhad.

“Kami perlu mengimbangi antara menyelamat nyawa dan melindungi mata pencarian, antara pelbagai keperluan sektor dan perusahaan, dan pastinya mengimbangi keperluan mendesak hari ini
dan menjaga kepentingan generasi akan datang,” ujarnya ketika memberi penerangan di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya lagi, Kementerian Kewangan (MoF) sehabis baik akan mempertimbangkan kewajaran sesuatu perkara sebelum meluluskan sebarang peruntukan.

Malah katanya, MoF juga cuba mencari penyelesaian yang paling optimum bagi krisis yang sedang dihadapi negara hari ini supaya masa depan negara terus terpelihara selain kedudukan ekonomi dan fiskal Kerajaan masih stabil apabila Malaysia berjaya keluardari kancah krisis ini kelak. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

- Advertisement -