Operasi sebuah PKRC dibuka semula di Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan Kelantan membuka semula operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) di Sekolah Kebangsaan Salor memandangkan berlaku pertambahan kes baru kebelakangan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, sehingga sekarang terdapat sebanyak 11 PKRC yang beroperasi di negeri itu.

“Kita terpaksa membuka semula PKRC Sekolah Kebangsaan Salor yang sebelum ini kita letakkan dalam standby mode.

- Advertisement -

“Bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan bagi memastikan kes baru Covid-19 dapat diturunkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kes sporadik dalam komuniti dilihat begitu tinggi yang mudah terdedah kepada masyarakat.

Katanya juga keadaan Covid-19 di Kelantan meningkat di mana ada varian baru iaitu Delta merupakan kes yang tersebar dalam komuniti.

“Malah lebih membimbangkan lagi ketika ini tahap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat di Kelantan semakin rendah dan amat membimbangkan dengan adanya kemasukan varian baru yang membahayakan,” katanya.

Oleh itu beliau memohon supaya semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurang jagkitan kes Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat negeri itu sama-sama terus berdoa dengan meminta pertolongan dengan Allah supaya wabak tersebut segera dapat dihapuskan. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

- Advertisement -