Kelantan mohon tambah bekalan vaksin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kelantan membuat permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk penambahan bekalan vaksin Covid-19 ke negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, langkah itu adalah salah satu usaha bagi meningkatkan tahap imuniti kelompok bagi membendung wabak.

Selain itu sebagai usaha menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

“Untuk membendung keadaan semasa dengan adanya varian Delta kita mesti tinggatkan tahap imiunisasi masyarakat.

“Justeru itu, kita memohon kepada MOSTI supaya meningkatkan bekalan vaksin Covid-19 ke Kelantan sebagai usaha menyelamatkan keadaan daripada terus berlaku peningkatan kes baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Izani berkata, dengan adanya kemudahan dan prasarana Pusat Pemberian Vaksin yang lengkap membolehkan sebanyak 33,000 dos dapat dilakukan dalam tempoh sehari dan mampu menyuntik sehingga 1 juta dos sebulan.

“Kita ada PPV awam, hospital dan beberapa lagi, jadi kita mohon sangat untuk berlaku pertambahan bekalan vaksin.

“Walaupun Pelan pemulihan negara ada namun demikian kita masih belum mampu membuka kembali sektor ekonomi selagi mana kita tidak capai tahap imuniti kelompok kerana ia amat bahaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

- Advertisement -