Imuniti kelompok dijangka jadi kenyataan Oktober ini

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan Parlimen Kubang Kerian diminta menyediakan seramai kira-kira 400 penduduk untuk diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, program Outreach Vaksinasi Covid-19 bermula 26 Julai, merupakan inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menjangka kira-kira lebih 4,000 penduduk di Parlimen Kubang Kerian akan menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19, sepanjang program tersebut diadakan sehingga awal Ogos ini.

- Advertisement -

“Saranan kerajaan untuk Oktober depan selesai semuanya akan jadi kenyataan, kami sangat menghargai usaha ini lebih-lebih lagi ketibaan Monsun Timur Laut pada November dijangka akan berlaku banjir.

“Setiap Dun diminta hantar kira-kira 400 penerima vaksin bagi setiap Dun sehari, kami menjangka dalam tempoh program ini diadakan lebih 4,000 penduduk di Kubang Kerian akan terima satu dos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pemberian vaksinasi pada program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Sekolah Antarabangsa Wadi Sofia di Padang Bongor di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Kelantan, Zaharin Bakri dan Penggawa Daerah Sering Sabari Abdul Rashid.

Mumtaz yang juga Adun Demit berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan semuan agensi kerajaan bagi mempercepatkan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini mendapat sambutan.

Pada program itu kata beliau lagi, LPPKN turut menyediakan sebuah bas bagi memberi suntikan vaksin Covid-19 secara bergerak dengan harapan supaya immuniti kelompok (herd immunity) tercapai dalam masa terdekat.

“Saya dari pihak kerajaan negeri dan Dun Demit, mengucap terima kasih kepada Wadi Sofia kerana membenarkan semua kemudahannya digunakan secara percuma untuk kepentingan rakyat diParlimen Kubang Kerian.

“Jadi kita nampak semua pihak dari pelbagai agensi kerajaan bekerjasama untuk mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat, ada juga bas LPPKN menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin secara bergerak,” katanya. – HARAKADAILY 29/7/2021

- Advertisement -