Air tangan Ustaz Rosli mesrai ‘frontliners’

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar komited menyajikan menu istimewa ‘air tangan’ beliau buat para anggota petugas barisan hadapan negara (frontliners) di dalam DUN Tanjung Lumpur.

Pemberian khas dari Dapur Rakyat dikendalikan beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur itu merupakan satu semangat kebersamaan dan tanda sokongan kepada ‘frontliners’ atas tanggungjawab ditunaikan mereka.

Advertisement

Seusai memasak dan membungkus, beliau sendiri bersama pegawainya mengadakan agihan makanan dan minuman tersebut kepada setiap petugas sebagai ramah mesranya selaku pemimpin masyarakat.

Kelmarin, diiringi Pegawai Khas ADUN Tanjung Lumpur, Ahmad fazil Mohd Alias beliau mengagihkan Nasi Arab Maqlubah di sekatan jalan raya (SRJ) Sungai Isap dan SRJ Tanjung Lumpur di hadapan Hospital Pakar KPJ KPJ Pahang.

“Sumbangan ini sebagai tanda prihatin PAS melalui Pusat Khidmat ADUN Tanjung Lumpur kepada ‘frontliner’ yang bertarung tenaga, keringat, masa dan kehidupan mereka untuk memastikan kehidupan rakyat selamat dan terhindar dari berleluasanya merebak jangkitan wabak yang semakin membimbangkan ini.

“Islam menggalakkan kita, umatnya empati terhadap kesusahan dan kesukaran orang lain dalam menghadapi cabaran tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan kita berkongsi rezeki dengan mereka. Semoga ianya memberi mereka suntikan semangat di atas rasa kebersamaan kita dengan mereka.

“Sejak PKP 1.0 dulu lagi, saya dan sahabat dalam PAS sudah melaksanakan khidmat memasak untuk ‘frontliner’ ini dan begitulah seterusnya selagi diperlukan,” ujarnya beliau.

Pihak Pusat Khidmat ADUN Tanjung Lumpur turut mengadakan siri bantuan ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ berupa pakej barangan asas dapur bernilai RM50 yang diagihkan secara berkala kepada penduduk memerlukan.

Para dermawan yang ingin menyokong usaha ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 556226402359 atas nama Dana Kebajikan Rakyat DUN tanjung Lumpur atau hubungi 0139733823 (Muhammad Quddus Muhaimin Sulong). – HARAKAHDAILY 29/7/2021