Vaksinasi harian Malaysia atasi negara maju

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mempercepatkan lagi sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mula dilaksanakan sejak Mac lepas.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, sasaran awal kerajaan program tersebut pada Februari 2022 bagi mencapai imuniti berkelompok 80 peratus daripada jumlah penduduk.

Bagaimanapun katanya kerajaan mempercepatkan program tersebut memandangkan penularan pandemik Covid-19 sekarang begitu membimbangkan.

Kata beliau kerajaan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti berkelompok kepada Disember 2021.

Advertisement

“Bagaimanapun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sasaran imuniti berkelompok dipercepatkan lagi kepada Oktober ini,” katanya ketika membentang penerangan mengenai PICK pada persidangan khas Dewan Rakyat, hari ini.

Fasa pertama program PICK bermula pada Mac lepas di mana perdana menteri menjadi penerima pertama vaksin jenis Pfizer.

Pada fasa pertama itu seramai 500,000 petugas barisan hadapan menerima vaksin.

Fasa kedua PICK pula melibatkan golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan yang berisiko tinggi.

Sebanyak 9.4 juta penerima disasar fasa itu membabitkan warga emas, pesakit kronik, (OKU) dan individu yang mempunyai komorbiditi.

Khairy juga berkata, Malaysia merupakan antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduk dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari.

“Kadar vaksinasi harian di Malaysia antara yang terpantas di dunia mengatasi beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

“Di mana sehingga sekarang kira-kira 18.4 juta rakyat Malaysia yang menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos,” katanya.

Menurutnya juga usaha mempercepatkan pemberian vaksin menjadi kenyataan apabila kerajaan membuka sebanyak 2,313 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

PPV tersebut termasuk juga dikendalikan pengamal perubatan swasta dan sukarelawan kesihatan. – HARAKAHDAILY 28/7/2021