Vaksin: Pembangkang berbahas tanpa fakta di Parlimen

KUALA LUMPUR: Keghairahan Ahli Parlimen pembangkang mendesak kerajaan meluluskan penggunaan Ivermectin untuk merawat Covid-19 dipertikaikan banyak pihak.

Malah banyak pakar dalam bidang berkaitan kecewa terhadap ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mendesak kerajaan menggunakan ubat antiparasit itu untuk merawat Covid-19.

Antara Ahli Parlimen pembangkang yang beriya-iya mendesak kerajaan menggunakan ubat termasuk daripada Amanah dan PKR.

Advertisement

Mereka mendakwa India dan Filipina berjaya menggunakan Ivermectin untuk merawat Covid-19 tanpa kesan sampingan.

Bagaimanapun seorang pengamal perubatan pada lontaran di media sosialnya meluah kecewa terhadap pemimpin pembangkang yang bercakap tanpa pengetahuan.

“Kami kerap memberikan penjelasan mengenai isu ini di media sosial, tetapi semua usaha kami sia-sia apabila pemimpin politik mendesak kerajaan menggunakan Ivermectin,” katanya.

Biarpun pembangkang mendakwa Ivermectin berkesan digunakan di negara terbabit, namun pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara itu tidak pernah mengumumkannya secara terbuka.

Pakar Perubatan Keluarga di Terengganu, Dr Suhazeli Abdullah sebelum ini menjelaskan Ivermectin di Malaysia hanya digunakan bagi ujian klinikal secara kelulusan ‘off label’.

Katanya pemantauan rapi oleh penyelidik dan pakar yang terlibat.

“Orang ramai perlu memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan untuk melengkapkan kajian klinikal berhubung keberkesanan dan kesan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Berdasarkan Evidence-Based Medicine, KKM dijangka mengeluarkan keputusan berhubung ujian klinikal Ivermectin pada September ini.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Bagaimanapun difahamkan beberapa negara termasuk India, United Kingdom dan Jepun telah menarik balik penggunaan Ivermectin bagi tujuan rawatan Covid-19.

Malah pengawal selia ubat Afrika Selatan juga tidak mengesyorkan Ivermectin untuk merawat Covid-19 di negara itu.

Sebuah laman berita pula menganggap pembangkang di Malaysia tidak buat kerja rumah sebelum berbahas di Parlimen mengenai isu tersebut.

“Pembangkang sepatutnya mengkaji kandungan mengenai vaksin tersebut terlebih dahulu sebelum berbahas di Parlimen. Ia mencerminkan kebijaksanaan atau kedangkalan mereka dalam sesuatu isu,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2021